ALOR GAJAH, 5 Nov  —  Kesemua 28 bakal calon yang dipilih mewakili Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka perlu menandatangani Akuan Bersumpah (SD) bagi mengelakkan  mereka daripada melompat parti.

Timbalan Pengerusi BN Datuk Seri Mohamad Hasan berkata SD tersebut kini sedang disiapkan oleh peguam dan akan ditandatangani semua bakal calon BN sebelum majlis pengumuman calon parti itu esok.

”Ini supaya kestabilan politik di negara terutama di Melaka (dapat dikekalkan). Sementara dalam Parlimen atau DUN (Dewan Undangan Negeri) belum ada lagi akta atau enakmen ini (lompat parti), maka kita terpaksa membuat aku janji dan ada dua, tiga lagi dokumen untuk ditandatangani bakal calon sebelum diberi tauliah esok,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan DUN angkat membabitkan Lendu, Taboh Naning dan Ayer Limau kepada UMNO Negeri Sembilan di Kampung Pulau di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO dan Pengarah Pilihan Raya PRN Melaka berkata  90 peratus calon yang bakal mewakili parti itu terdiri daripada muka baharu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi PRN Melaka pada 20 Nov manakala penamaan calon pada 8 Nov dan undi awal pada 16 Nov.

PRN Melaka diadakan ekoran pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 4 Okt lepas susulan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali. 

Empat ADUN berkenaan ialah Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here