KOTA BHARU, 6 Nov  — Tahap pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) yang  longgar dan tidak melaporkan keputusan ujian kendiri menerusi aplikasi MySejahtera antara punca kes COVID-19 di Kelantan masih meningkat, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata bagi mengelak penularan COVID-19 dalam komuniti berlaku, orang ramai diingatkan supaya segera melaporkan keputusan ujian kendiri walaupun keputusannya negatif, dan terus mematuhi SOP ditetapkan.

“Saya lihat kompaun di Kelantan paling tinggi, mungkin disebabkan penguat kuasa aktif atau SOP kurang dipatuhi. Oleh itu, kita minta kerjasama semua pihak supaya pelaksanaan pematuhan SOP ditingkatkan di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melawat Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), di sini hari ini, yang turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan (KKM) Datuk Mohd Shafiq Abdullah dan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Setakat hari ini Kelantan mencatatkan 398 kes baharu COVID-19 menjadikan jumlah kumulatif kes mencecah 141,665.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here