MELAKA, 9 Nov — DAP menyokong Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka Adly Zahari dipilih sebagai Ketua Menteri sekiranya gabungan itu berjaya membentuk kerajaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 20 Nov ini.

Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP Anthony Loke Siew Fook berkata parti itu turut menumpukan usaha memenangkan PH dalam PRN Melaka meskipun tidak bersetuju dengan keputusan memilih bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Seri Idris Haron dan Datuk Nor Azman Hassan bertanding di bawah tiket gabungan tersebut.

“Pendirian kita jelas bahawa walaupun kita tidak bersetuju dengan pencalonan dua calon tersebut tetapi kita tetap mahu memenangkan Pakatan Harapan dan fokus DAP ialah kita nak memastikan lapan kerusi yang kita bertanding kita boleh mencapai kemenangan dan menyumbang lapan kerusi kepada Pakatan Harapan.

“Sekiranya Pakatan Harapan berjaya membentuk kerajaan negeri, pendirian DAP ialah menyokong saudara Adly Zahari sebagai Ketua Menteri Melaka,” katanya pada sidang media sebelum melancarkan Trak Harapan di sini hari ini.

Idris dan Nor Azman, yang mewakili Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum Ke-14, masing-masing dicalonkan bertanding di DUN Asahan dan Pantai Kundor pada PRN Melaka kali ini di bawah tiket PH.

SPR menetapkan tarikh mengundi PRN Melaka pada 20 Nov dan undi awal pada 16 Nov susulan pembubaran DUN pada 4 Okt lepas selepas empat ADUN menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here