KUALA TERENGGANU, 21 Nov  — Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan merujuk kertas siasatan kes pemilik restoran terapung di Langkawi yang didakwa mengenakan caj terlampau iaitu RM1,196.80 bagi seekor ikan siakap seberat 7.48 kilogram, kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.

Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata kertas siasatan di bawah Seksyen 53(A) Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011  dibuka kerana peniaga berkenaan gagal menyelenggara dan  menyimpan dokumen wajar dalam pengendalian  perniagaan.

“Jika sabit kesalahan peniaga boleh dikenakan denda RM100,000 bagi kesalahan pertama dan RM250,000 bagi kesalahan kedua dan seterusnya,’ katanya.

Bagaimanapun, disebabkan ketiadaan dokumen lengkap seperti kos operasi dan kos-kos lain daripada peniaga tersebut menyebabkan siasatan di bawah kesalahan pencatutan mengikut Seksyen 21 (AKHAP) tidak dapat dijalankan,” katanya selepas melawat tanaman fertigasi tembikai wangi atau rock melon di Kampung Peradong di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Pertanian Terengganu, Zulkepli Amin Mat Jusoh @ Yusof.

Susulan isu “siakap harga kayangan” itu, Rosol berkata KPDNHEP melancarkan Ops Menu di seluruh negara bermula 6 Nov lepas sehingga semalam, dengan 21 kes diambil tindakan atas pelbagai kesalahan dan nilai keseluruhan kompaun berjumlah RM6,400.

Menurutnya daripada 21 kes itu, 10 kes melibatkan kesalahan di bawah AKHAP 2011 manakala 11 lagi berkaitan Akta Timbang dan Sukat (ATS) 1972.

“Pegawai dan anggota terlibat telah melakukan pemeriksaan di 2,800 premis termasuk kedai makan dan restoran di seluruh negara bermula 6 Nov lepas dan akan diteruskan sehingga 31 Dis ini.

Kes tertinggi dikesan ialah di Sabah dengan sembilan kes, Johor (tiga), Pulau Pinang (dua), manakala  Perak, Terengganu, Kelantan, Perlis, Pahang, Selangor dan Sarawak masing-masing satu kes,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here