SEPANG, 16 Feb – Penerbangan dua kali seminggu oleh Turkmenistan Airlines dari Ashgabat ke Kuala Lumpur bermula hari ini merupakan titik permulaan bagi Malaysia meneroka pasaran Asia Tengah dan Rusia.

Pengarah Kanan Bahagian Promosi Antarabangsa Amerika/Eropah/Oceania Tourism Malaysia Iskandar Mirza Mohd Yusof berkata Turkmenistan Airlines merupakan syarikat penerbangan kedua dari Asia Tengah yang menawarkan laluan penerbangan ke Kuala Lumpur selepas Uzbekistan Airways.

Beliau berkata penerbangan itu juga membuka ruang bagi mempromosikan elemen pelancongan mesra Muslim memandangkan komuniti Asia Tengah dan Rusia banyak yang beragama Islam.

“Jadi kita harap sangat ini merupakan satu titik permulaan untuk kita terokai pasaran Asia Tengah dan pasaran Rusia yang tiada penerbangan terus (ke Kuala Lumpur),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas ketibaan penerbangan sulung Turkmenistan Airlines yang mendarat pada 4.10 petang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, di sini hari ini.

Beliau berkata mengikut statistik, jumlah kehadiran pelancong Rusia ke Malaysia bagi tempoh Januari hingga November 2023 adalah sebanyak 100,645 orang dan ia merupakan peningkatan 39.5 peratus berbanding pada 2019.

“Bilangan pelancong Rusia ke Malaysia meningkat pada pascapandemik COVID-19,” katanya.

Penerbangan dari Turkmenistan ke Malaysia akan dilakukan pada setiap Selasa dan Khamis, manakala dari Malaysia ke Turkmenistan pada Rabu dan Khamis, dengan masa penerbangan kira-kira lapan jam 10 minit.

Terdahulu, ketibaan pesawat Turkmenistan Airlines yang membawa 228 penumpang dari Ashgabat itu diberikan sambutan tradisi semburan air dan kesemua mereka disambut Menteri Pelancongan Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing serta Duta Besar Turkmenistan ke Malaysia Muhammetnyyaz Mashalov. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here