KUALA LUMPUR, 21 Dis — Industri batik negara terus menunjukkan perkembangan positif apabila jumlah usahawan kraf batik meningkat kepada 775 orang setakat 31 Okt lepas, Dewan Negara diberitahu hari ini. 

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri berkata pada 2009, jumlah usahawan kraf batik yang berdaftar ialah 120 orang dengan nilai jualan RM30.9 juta.

Beliau berkata sedekad kemudian, jumlah usahawan kraf batik meningkat kepada 700 orang dan nilai jualan yang dicatatkan sebanyak RM176.4 juta.

“Sepanjang tempoh 2016 hingga 2020, dagangan eksport batik Malaysia oleh pengusaha kraf yang berdaftar adalah sebanyak RM6.7 juta manakala bagi dagangan eksport batik Malaysia pada tahun ini, sehingga 31 Okt, nilai yang dicatatkan adalah RM289,000.

“Nilai yang agak rendah ini adalah dijangka ekoran penularan COVID-19 di seluruh dunia yang bukan saja memberi impak kepada penutupan sempadan malah turut mempengaruhi ekonomi global,” katanya menjawab soalan Senator Datuk Isa Ab Hamid mengenai jumlah dagangan eskport batik Malaysia dan import batik luar, hari ini.

Nancy berkata jumlah dagangan eksport batik Malaysia dijangka kembali pulih selepas sektor ekonomi dibuka sepenuhnya yang memberi kelebihan kepada usahawan kraf batik untuk memasar dan mempromosikan produk mereka.

Menjawab soalan tambahan Senator Datuk Razali Idris mengenai persaingan harga antara batik Malaysia dengan batik import, beliau berkata persaingan itu melibatkan cara pembuatan dan bahan yang digunakan. 

“Kita (melukis batik) menggunakan tangan, (jadi ia) agak lambat dan melibatkan orang kampung, malah OKU (orang kurang upaya) juga terlibat. Beza (batik) kita dengan luar negara, mereka lebih kepada menggunakan mesin. Kita ada guna mesin tapi kita lebih menggalakkan orang kampung untuk menghasilkan batik dengan tangan sendiri,” katanya. 

Beliau berkata batik Malaysia lebih kepada menggunakan bentuk flora dan fauna bagi melahirkan corak yang berbeza dari negara lain. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here