ISKANDAR PUTERI, 6 Jan — Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor hari ini merakamkan ucapan takziah kepada keluarga bekas Menteri Besar Johor Datuk Osman Sapian yang meninggal dunia pada 21 Dis lepas.

Ucapan berkenaan dizahirkan Speaker DUN Johor Suhaizan Kaiat sebelum memulakan Mesyuarat Ketiga Bagi Penggal Persidangan Keempat DUN Johor yang ke-14 di Bangunan Sultan Ismail, di sini, hari ini.

“Dukacita dimaklumkan bekas Menteri Besar Johor dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas Datuk Haji Osman Sapian meninggal dunia.

“DUN Johor merakam takziah kepada ahli keluarga Allahyarham. Marilah kita sama-sama mendoakan agar roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman,” kata beliau sebelum memulakan persidangan itu.

Dewan turut memberi penghormatan kepada Allahyarham dengan ADUN beragama Islam membaca surah Al-Fatihah manakala ADUN bukan beragama Islam, bertafakur dan berdiri selama seminit.

Osman, 69, dilantik sebagai Menteri Besar Johor ke-16, selepas Pilihan Raya Umum ke-14 bagi tempoh 12 Mei 2018 sehingga 13 April 2019.

Allahyarham juga pernah menjadi ADUN Kempas selama tiga penggal atas tiket UMNO bagi tempoh 29 Nov 1999 sehingga 2 April 2013, sebelum kembali menjadi ADUN di kerusi sama melalui tiket Bersatu pada 11 Mei 2018.

Sebelum meninggal dunia, Osman diserang angin ahmar pada pertengahan Oktober tahun lepas.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here