KUALA LUMPUR, 12 Jan — Sektor perjalanan udara mencatat pemulihan berterusan pada November 2021, namun tempoh-tempoh berikutnya berkemungkinan terjejas akibat pelaksanaan sekatan pergerakan bagi membendung penularan varian Omicron.

Menurut Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA), permintaan perjalanan antarabangsa juga diunjur meneruskan aliran peningkatan apabila lebih banyak pasaran dibuka semula.

Bagaimanapun, aliran trafik atau pergerakan penumpang di peringkat domestik adalah suram dengan sebahagian besarnya disebabkan oleh peningkatan sekatan perjalanan di China.

“Jumlah permintaan bagi perjalanan udara pada November 2021 (diukur menerusi hasil penumpang bagi setiap kilometer atau RPK) susut 47.0 peratus berbanding November 2019. Namun ini adalah kenaikan berbanding penguncupan sebanyak 48.9 peratus pada Oktober berbanding bulan sama pada tahun sebelum itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

IATA berkata, perjalanan udara domestik susut sedikit pada November selepas mencatat peningkatan selama dua bulan berturut-turut.

“RPK domestik berkurangan sebanyak 24.9 peratus berbanding tempoh sama pada 2019 manakala Oktober mencatat penurunan sebanyak 21.3 peratus.

“Keadaan ini terutamanya disebabkan oleh perkembangan di China yang menyaksikan aliran pergerakan penumpang susut 50.9 peratus berbanding 2019 selepas beberapa bandarnya bertindak melaksanakan sekatan perjalanan lebih ketat bagi membendung penularan COVID-19 (sebelum Omicron),” katanya.

Menurut IATA, permintaan penumpang antarabangsa pada November lepas juga berkurangan 60.5 peratus berbanding November 2019, namun angka itu lebih baik jika dibandingkan dengan penurunan sebanyak 64.8 peratus pada Oktober.

Ketua Pengarah IATA Willie Walsh berkata perkembangan sepanjang 22 bulan lepas menunjukkan wujudnya kaitan kecil atau tiada kaitan langsung antara langkah mengenakan sekatan perjalanan dan mengelak penularan virus yang merentasi sempadan.

“Malah, langkah sekatan tersebut hanya membebankan dari segi kehidupan dan (menjejaskan) sumber pendapatan. Jika pengalaman itu dapat dijadikan pengajaran, maka kita juga berharap agar kerajaan-kerajaan memberi lebih banyak perhatian terhadap aspek itu ketika kita telah pun memasuki tahun baru ini,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here