KUALA BERANG, 16 Jan — Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah mengeluarkan sebanyak 262 Notis Pengesahan Maklumat Barangan melalui Op Cakna yang dijalankan sejak 1 Jan lepas.

Timbalan Menterinya Datuk Rosol Wahid berkata ia adalah hasil pemantauan yang dilakukan oleh pegawai penguat kuasa di seluruh negara, membabitkan pemeriksaan harga dan bekalan terhadap 891 barangan.

“Tujuan Op Cakna adalah untuk mengelakkan berlakunya aktiviti mengambil untung yang tinggi oleh peniaga ketika permintaan terhadap barangan dan perkhidmatan tertentu meningkat, selepas banjir.

“Fokus barangan ialah seperti peralatan elektrik, perabot, pakaian, alat ganti kenderaan dan bengkel kenderaan yang harganya tidak dikawal oleh kerajaan, kita tidak mahu rakyat terbeban dengan kenaikan harga yang tidak munasabah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dan taklimat pemberian insentif bulanan jurumandi dan pembantu jurumandi jenazah bagi daerah Hulu Terengganu di sini, hari ini.

Notis Pengesahan Maklumat Barangan itu dikeluarkan kepada peniaga mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011.

Peniaga yang menerima notis tersebut perlu mengemukakan maklum balas dan maklumat terperinci harga jualan dan kos barangan, bagi memudahkan siasatan.

Selain itu, Rosol berkata KPDNHEP juga menerima 167 aduan harga barangan mahal pascabanjir sejak pertengahan Disember lepas iaitu 98 aduan berkaitan harga makanan, minuman (27), perkhidmatan (25), alat ganti kenderaan (10) dan sayur (tujuh).

“Pengguna dinasihatkan agar mengambil tahu dan berpuas hati dengan harga yang akan dikenakan ke atas setiap perkhidmatan yang dilakukan, seperti caj dan upah membaiki kenderaan atau barang elektrik serta kos alat ganti, sebelum bersetuju dengan perkhidmatan tersebut.

“Ini bagi mengelakkan berlakunya penipuan atau penindasan kepada pengguna memandangkan harga alat ganti kenderaan dan peralatan elektrik tidak dikawal oleh kerajaan,” katanya.

Tambahnya, pengguna juga digalakkan mendapatkan perkhidmatan di bengkel kenderaan yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan pihak berkuasa tempatan bagi memudahkan tindakan penguatkuasaan dilakukan jika terdapat sebarang aduan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here