PUTRAJAYA, 27 Mac (Bernama) — Sebanyak 130 kes baharu positif COVID-19 dilaporkan dalam negara setakat tengah hari tadi, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan 2,161 kes dengan jumlah kematian terkini seramai 26 orang.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, terdapat tiga lagi kematian akibat COVID-19 direkodkan, termasuk satu kes yang disiarkan di laman Facebooknya, pagi tadi.

“Kes kematian ke-24 (kes ke-1,056) adalah seorang lelaki warga Malaysia berumur 35 tahun yang mempunyai sejarah perjalanan ke Indonesia. Beliau dirawat di Hospital Kuala Lumpur pada 18 Mac dan disahkan meninggal pada 26 Mac, pukul 9.30 malam,” katanya pada sidang media harian perkembangan COVID-19, di sini, hari ini. 

Jelas Dr Noor Hisham, bagi kematian ke-25 (kes ke-2,032) pula, ia melibatkan lelaki tempatan berumur 83 tahun dengan penyakit kronik yang dimasukkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Perak pada 25 Mac, dan disahkan meninggal dunia pada 26 Mac pukul 6.55 petang.

“Bagi kes kematian ke-26 (kes ke-1,321), adalah seorang lelaki tempatan berumur 53 tahun. Beliau merupakan kontak rapat kepada kes-1,309). Beliau dirawat di Hospital Sungai Buloh pada 22 Mac dan disahkan meninggal dunia hari ini pada 10.30 pagi,” katanya.

Beliau berkata sehingga kini 54 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 34 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Dalam pada itu, katanya terdapat 44 kes pulih dan dibenarkan keluar dari hospital hari ini yang menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya sebanyak 259 kes.

Sementara itu, mengulas situasi terkini di daerah Kluang, Johor, Dr Noor Hisham berkata 88 kes daripada jumlah keseluruhan kes positif adalah dari daerah berkenaan. 

“Sehingga pukul 12 tengah hari ini, daerah Kluang, Johor melaporkan sebanyak 88 kes positif COVID-19, dengan 74 daripadanya adalah dari Kampung Dato’ Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Dato’ Ibrahim Majid di Simpang Renggam, Johor,” katanya.

Semalam, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dilaksanakan di Kampung Dato’ Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Dato’ Ibrahim Majid yang berkuat kuasa mulai tengah malam tadi (27 Mac) sehingga 9 April depan. 

Susulan PKPD itu, Dr Noor Hisham berkata ia membolehkan aktiviti pengesanan kes secara aktif dari rumah ke rumah dilaksanakan, selain aktiviti nyah kuman dijalankan di kawasan berkaitan.

“KKM menyasarkan 300 sampel ujian diambil setiap hari bermula hari ini. Persampelan akan diutamakan kepada golongan kontak rapat, individu bergejala, dan golongan atau kumpulan yang berisiko terlebih dahulu.

“Kerja pembersihan dan disinfeksi di tempat awam akan dijalankan dengan kerjasama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Majlis Daerah Simpang Renggam. Penerangan juga akan diberi kepada semua penduduk mengenai tatacara disinfeksi rumah yang betul,” tambahnya.

Katanya perkhidmatan kesihatan di Klinik Desa Dato’ Ibrahim Majid diteruskan seperti biasa manakala perkhidmatan kecemasan akan diselaraskan oleh Pusat Penyelarasan Perubatan Kecemasan (MECC).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here