ALOR GAJAH, 30 Jan — Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) akan memperbanyakkan sesi libat urus dengan pemain industri kreatif dalam usaha memahami dan membantu mereka dalam pelbagai perkara berkaitan.

Menterinya Tan Sri Annuar Musa berkata selain itu, pemain industri kreatif juga boleh tampil ke hadapan untuk meluahkan sebarang idea atau masalah yang dihadapi kerana mereka juga merupakan sebahagian daripada Keluarga Malaysia.

“Kita tidak mahu ada budaya tuding jari pada pihak tertentu (jika timbul sebarang masalah). Konsep Keluarga Malaysia kita adalah satu. Konsep Keluarga Malaysia siapa susah siapa senang kita tanggung bersama,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program Sembang Santai #KELUARGAMALAYSIA @ Melaka di Masjid Tanah di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif MyCreative Ventures Sdn Bhd (MyCreative) Junady Nawawi dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) Mahadhir Aziz.

Sementara itu, dalam program Sembang Santai itu, Annuar berkata sumbangan industri kreatif kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) masih rendah apabila hanya menyumbang sekitar lima hingga enam peratus setahun dan beliau mahu ia dipertingkatkan menerusi transformasi pendigitalan negara.

“Sekarang ini kita nak membudayakan seluruh rakyat supaya menyertai gelombang besar digitalisasi yang berlaku secara global kerana kalau lambat kita akan tertinggal. Sekali gus ia menjana pendapatan kepada individu dan negara,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here