KUALA LUMPUR, 10 Feb — Kesemua negeri-negeri, kecuali Kelantan dan Wilayah Persekutuan Labuan mencatatkan eksport lebih kukuh pada Disember 2021 dengan Pulau Pinang meraih angka tertinggi bernilai RM42 bilion iaitu kenaikan sebanyak 41.7 peratus.

Ini menjadikan Pulau Pinang merekodkan jumlah dagangan tertinggi merangkumi eksport dan import pada RM64.3 bilion, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dalam kenyataan Statistik Eksport Import Mengikut Negeri bagi Disember 2021 yang dikeluarkan hari ini.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata lonjakan eksport Pulau Pinang sebanyak 41.7 peratus itu disumbangkan oleh segmen litar elektronik bersepadu, barangan elektrik dan elektronik lain, kristal piezo elektrik dan alat ganti manakala imports sebanyak RM22.3 bilion.

Selangor dan Johor mencatatkan pertumbuhan eksport pada RM21.3 bilion iaitu masing-masing naik sebanyak 20.9 peratus dan 7.9 peratus.

Eksport Sarawak naik 43.7 peratus kepada RM9.4 bilion manakala Kedah melonjak 74.4 peratus kepada RM7.4 bilion, Sabah meningkat 68 peratus kepada RM4.7 bilion dan Pahang naik 31 peratus kepada RM3.6 bilion.

Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menyaksikan peningkatan eksport sebanyak 27.6 peratus kepada RM3.8 bilion, Melaka RM3.6 bilion (15 peratus), Perak RM3.3 bilion (11.0 peratus), Negeri Sembilan RM2 bilion (5.8 peratus) dan Perlis RM100 juta (8.1 peratus).

Bagaimanapun, eksport berkurangan di Kelantan kepada RM400 juta iaitu susut 9.9 peratus daripada RM40.8 juta dan Labuan (RM18.5 juta).

Dari segi prestasi import mengikut negeri, Mohd Uzir berkata import meningkat 23.6 peratus kepada RM17.7 bilion pada Disember 2021 berbanding bulan sama pada tahun sebelumnya.

Pulau Pinang mencatatkan kenaikan import kepada RM22.3 bilion (28.6 peratus), Selangor RM25.3 bilion (16.3 peratus), Sarawak RM2.7 bilion (51.5 peratus), Kedah RM6.1 bilion (RM54.5 peratus), Sabah RM800 juta (RM33.2 peratus) dan Johor menokok 7.9 peratus kepada RM16.5 bilion.

Import di Terengganu berkembang pada RM500 juta atau 85.7 peratus manakala Pahang mencatat RM2.1 bilion (58.6 peratus), Kuala Lumpur RM7.0 bilion (39.7 peratus), Perak RM3.2 bilion (20.5 peratus), Negeri Sembilan RM3.4 bilion (66.3 peratus) dan Perlis RM100 juta atau 10.3 peratus.

Keadaan sebaliknya dicatatkan di Melaka, Kelantan dan Labuan dengan import susut masing-masing sebanyak 23.9 peratus, 0.2 peratus dan 0.4 peratus kepada RM1.8 bilion, RM0.2 bilion dan RM0.2 bilion.

“Antara lima negeri pengeksport utama, Pulau Pinang kekal sebagai pengeksport utama dengan menyumbang sebanyak 33.9 peratus dan diikuti oleh Selangor (17.2 peratus), Johor (17.2 peratus), Sarawak (7.6 peratus) dan Sabah (3.8 peratus).

“Bagi import, Selangor kekal sebagai penyumbang utama dengan 27.3 peratus dan diikuti oleh Pulau Pinang (24.0 peratus), Johor (17.8 peratus), Kuala Lumpur (7.5 peratus) dan Kedah (6.6 peratus),” katanya.

Jumlah dagangan Malaysia bagi Disember 2021 menokok 26.8 peratus tahun ke tahun kepada RM216.7 bilion dengan nilai eksport naik 29.2 peratus kepada RM123.8 bilion manakala import bernilai RM92.9 bilion iaitu peningkatan sebanyak 23.6 peratus.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here