KUALA LUMPUR, 13 Feb — Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata beliau bercadang mengadakan lawatan kerja ke China pada Mei dan ke Timur Tengah pada penghujung Mac ini.

Ismail Sabri bagaimanapun berkata pada peringkat awal beliau akan menghabiskan dahulu lawatan kerjanya ke negara-negara ASEAN seperti ke Brunei yang dijadualkan esok dan negara lain seperti Thailand, Kemboja dan Vietnam.

“Saya selesaikan ASEAN dulu sebelum saya pergi ke negara Timur Tengah, tengah tunggu tarikh mungkin Mac atau selepas Parlimen habis bersidang…selepas itu saya ke China,” katanya selepas menghadiri Majlis Makan Tengah Hari Lou Sang Tahun Baharu Cina Keluarga Malaysia di sini hari ini.

Malaysia menjalin hubungan diplomatik dengan China sejak 1974, negara pertama di ASEAN yang melakukannya. Sejak itu, kedua-dua negara menjalin hubungan erat dan membangun perkongsian untuk kepentingan bersama dalam pelbagai aspek.

Sebelum ini Indonesia menjadi negara pertama dikunjungi beliau selepas mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri kesembilan pada 21 Ogos lalu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here