KUALA LUMPUR, 16 Feb — Rangkaian Borong Tunggal (SWN) 5G adalah amat berbaloi untuk diterokai oleh negara ini memandangkan matlamatnya bertujuan mewujudkan kestabilan infrastruktur yang akan membolehkan penyertaan pengendali rangkaian mudah alih (MNO), menurut pakar telekomunikasi.

Perunding Bebas Brett Haan berkata model SWN atau bukan lelongan adalah penyelesaian inovatif yang sewajarnya diberi perhatian.

“Dalam kes Afrika Selatan, SWN telah membolehkan kerajaan meningkatkan pemilikan dan pekerjaan kepada kaum kulit hitam selain daripada mengembangkan liputan jalur lebar.

“Syarikat telekomunikasi (Telco) di Afrika Selatan satu masa dulu mendapati liputan jalur lebar adalah suatu matlamat yang agak sukar dicapai oleh mereka,” kata Haan yang merupakan seorang rakyat Amerika yang berada di Malaysia bagi lawatan kerja dalam satu taklimat media hari ini.

Haan, yang juga merupakan perunding Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai dasar serta strategi 5G menjelaskan pada satu ketika, telco-telco akan membeli beberapa spektrum dalam memastikan rangkaian model borong adalah mampan secara kewangan.

Beliau berkata selain penyertaan MNO, model SWN akan dapat menarik lebih banyak pihak berkepentingan dalam mendorong persaingan antara sektor perkhidmatan dan ini akan membawa kepada pertumbuhan sektor tersebut.

Haan menegaskan bahawa apa yang lebih utama sekarang adalah pelaksanaan dasar di bawah SWN .

Adalah amat penting bagi kerajaan untuk mewujudkan keyakinan dalam pelaksanaan dengan bekerjasama dengan MNO serta pihak berkepentingan yang lain.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa pada Disember lepas telah mengumumkan bahawa kerajaan memutuskan untuk melaksanakan pelaksanaan SWN bagi pelancaran 5G di negara ini, dan penempatan itu akan dijalankan seperti yang dirancang.

Kerajaan sebelum ini telah mengarahkan Digital Nasional Bhd (DNB), sebuah syarikat milik negara di bawah Kementerian Kewangan, untuk penempatan di bawah pendekatan model SWN.

Sehingga Disember 2021, hanya Telekom Malaysia Bhd (UniFi Mobile) dan YTL Communications Sdn Bhd (YES) telah mendaftar untuk perjanjian perkhidmatan rangkaian dan gentian 5G DNB yang akan mempercepatkan penempatannya di seluruh negara.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here