BANGKOK, 21 Feb  — Ketua Pegawai Eksekutif Capital A Bhd (sebelum ini AirAsia Group Bhd) Tan Sri Tony Fernandes menggesa kerajaan Thailand untuk memudahkan keperluan perjalanan COVID-19 untuk pengunjung antarabangsa dalam usaha meningkatkan ketibaan pelancong.

Beliau menggesa kerajaan untuk mempertimbangkan mengecualikan ujian tindak balas rantai polimerase transkripsi terbalik (RT-PCR) COVID-19 yang kedua untuk pengunjung pada hari kelima penginapan mereka di bawah skim Test & Go tanpa kuarantin.

Bagi memudahkan perjalanan, beliau turut meminta kerajaan mempertimbangkan untuk membatalkan syarat permohonan untuk Pas Thailand dan membeli insurans perjalanan.

“Test & Go adalah baik tetapi kita perlu mengehadkan jumlah ujian. Kebanyakan pelancong yang datang ke Thailand adalah dari negara-negara ASEAN. Mereka biasanya melakukan perjalanan antara empat dan lima hari. Jika terdapat banyak ujian, ujian itu lebih mahal daripada penerbangan… Mungkin hanya satu ujian (RT-PCR COVID-19) diperlukan.

“Diharapkan, kita tidak memerlukan Pas Thailand berikutan syarikat penerbangan boleh melaksanakan peranan mereka dengan menyemak semua dokumen yang diperlukan, termasuk sijil vaksin untuk pelancong yang memasuki Thailand. 

“Saya amat optimis bahawa orang ramai mahu datang ke Thailand. Sudah tiba masanya untuk membantu industri pelancongan. Oleh itu, kita perlu memudahkan perjalanan,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran airasia Super App di sini hari ini.

Pada masa ini, di bawah program Test & Go, pengembara yang telah divaksin sepenuhnya perlu memohon Pas Thailand sebelum memasuki negara ini dan mereka perlu membeli insurans perubatan dengan perlindungan minimum US$50,000 (RM209,375) dan keputusan ujian RT-PCR COVID-19 untuk tempoh 72 jam sebelum perjalanan.

Selain itu, pengembara perlu menempah awal hotel yang diperakui SHA Extra dan ujian RT-PCR COVID-19 untuk Hari 1 dan Hari 5.

Selain itu, Fernandes turut menyuarakan rasa optimis terhadap peningkatan jumlah ketibaan pelancong asing ke Thailand sekiranya kerajaan bertindak melonggarkan kesemua sekatan perjalanan.

“Ramai yang mahu ke Thailand. Ini semua bergantung kepada bagaimana tindakan kerajaan untuk membuka sempadan. Kami di AirAsia sememangnya bersedia untuk menyediakan penerbangan tersebut,” katanya.

Sebelum pandemik COVID-19, Thailand merekodkan hampir 40 juta pengunjung namun bilangan ketibaan pelancong merosot kepada 6.7 juta orang pada 2020. 

Majlis Ekonomi dan Sosial Negara hari ini menjangkakan ketibaan 5.5 juta pelancong pada tahun ini.

Terdahulu, Fernandes melancarkan airasia Super App — platform semua-dalam-satu yang menawarkan lebih daripada 16 rangkaian produk dan perkhidmatan kepada pengguna menerusi aplikasi itu serta laman sesawang airasia.com.

Aplikasi yang mempunyai 51 juta pengguna pada masa ini, menyasarkan untuk menjadi aplikasi utama ASEAN menjelang 2026, kata Ketua Pegawai Eksekutif Airasia Super App Amanda Woo.

Menurutnya, aplikasi itu turut diiktiraf sebagai unicorn ruang teknologi dalam tempoh kurang daripada dua tahun.

“Kami berkembang daripada sebuah syarikat penerbangan kepada satu platform yang menawarkan lebih daripada 16 kategori perkhidmatan. Kami juga merupakan antara peneraju agensi pelancongan dalam talian di rantau ini berikutan peranan sebagai platform sehenti untuk perkhidmatan pengembaraan seperti penerbangan membabitkan lebih 700 syarikat di peringkat global, rangkaian hotel selain menawarkan platform seperti penerbangan dan hotel.

“Sejajar usaha menjadi aplikasi gaya hidup terkemuka di rantau ini, airasia Super App juga menyasarkan untuk melipatgandakan jumlah pengguna menjelang 2026,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here