JASIN, 22 Jan  — Polis Melaka akan menghantar 308 pegawai dan anggota bagi membantu kelancaran Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Ketua Polis Melaka Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata berkata kesemua mereka yang terlibat akan digerakkan mengikut keperluan kontinjen Johor secara berperingkat termasuk unit Light Strike Force (LSF), trafik serta bantuan aset lain.

“Selain itu juga kita bersiap sedia dengan 70 anggota simpanan sekiranya keadaan memerlukan.

“Pihak kita juga sedia untuk berkongsi pengalaman daripada segi penguatkuasaan ketika PRN Melaka pada 20 Nov lepas dengan kontinjen Johor supaya sebarang masalah yang timbul sebelum ini dapat ditambah baik pelaksanaannya nanti,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu beliau menyempurnakan Majlis Perasmian Balai Polis Bemban yang turut dihadiri Timbalan Ketua Polis Melaka Datuk Razali Abu Samah.

Sementara itu, Abdul Majid berkata Polis Melaka juga akan menubuhkan bandar selamat berkonsepkan pelancongan iaitu ‘Smart City Policing’ di Jonker Walk pada Mac ini.

Beliau berkata program itu juga mendapat kerjasama Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) membabitkan penggunaan teknologi dan kamera litar tertutup (CCTV).

“Melaka merupakan negeri pelancongan yang menerima jutaan pengunjung setiap tahun dan usaha ini bagi memastikan  kawasan pelancongan sentiasa berada dalam keadaan selamat dan jika perkara ini berjaya kita akan perluaskanya di tempat lain di Melaka,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here