PUTRAJAYA, 24 Feb  — Produk Kebun Komuniti di Wilayah Persekutuan akan dikomersialkan bagi membuka peluang perniagaan yang lebih luas kepada pengusahanya, kata Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) Datuk Seri Rosida Jaafar. 

Beliau berkata produk Kebun Komuniti seperti madu kelulut, cincau dan sayur-sayuran akan dikomersialkan KWP dan Perbadanan Putrajaya (PPj) dengan kerjasama Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) serta Jabatan Pertanian.

“Bagi pasaran secara dalam talian pula, KWP akan bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi untuk mengkomersialkan lagi produk-produk,” katanya. 

“Mereka (pengusaha) perlu jadikan (Kebun Komuniti) sebagai satu perniagaan dan bukan sahaja untuk makanan asas sahaja,” katanya kepada pemberita selepas meninjau Program Bazaar Kebun Komuniti Wilayah Persekutuan di sini hari ini.

Dalam tinjauannya itu beliau turut melawat Kebun Komuniti 4 (KK4) yang diusahakan oleh 37 orang komuniti Presint 14, dan antara produk KK4 adalah cincau, sambal hitam serta tanaman seperti bayam, kangkung, sawi dan terung. 

Kebun Komuniti adalah program pertanian bandar yang dijalankan di Wilayah Persekutuan Putrajaya, Kuala Lumpur dan Labuan bagi membantu mengurangkan kos sara hidup penduduk bandar dengan penghasilan bahan makanan sendiri. 

Beliau berkata program Kebun Komuniti akan diperluaskan di beberapa lagi lokasi dalam usaha mengalakkan pertanian bandar. 

“Untuk di Putrajaya, kita ada 15 Kebun Komuniti… kawasan lapang yang bukan untuk riadah atau rizab hijau mungkin boleh digunakan untuk pertanian bandar,” katanya.

Sementara itu Rosida berkata program Bazaar Kebun Komuniti akan diteruskan dengan skala yang lebih besar seperti Pameran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan Agro Antarabangsa (MAHA).  

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here