PETALING JAYA, July 17: Seorang ahli ekonomi berkata biar kuasa pasaran tentukan tahap gaji dalam iklim ekonomi semasa untuk melindungi pekerjaan.

Mengulas seruan meminta gaji minimum disemak semula, Carmelo Ferlito dari Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi berkata walaupun dasar gaji minimum berniat baik, ia sering menghasilkan hasil yang tidak diinginkan.

Ferlito berkata dalam keadaan pekerjaan penuh majikan kebiasaannya membayar lebih untuk menarik pekerja, dalam konteks pengangguran yang tinggi pula memerlukan pekerja menyesuaikan diri dengan pasaran.

Beliau berkata pekerjaan yang hampir dengan gaji minimum selalunya pekerjaan berkemahiran rendah, sambil menambah pekerjaan itu boleh digantikan dengan automasi.

“Ambil contoh kutip bayaran letak kereta di pusat membeli-belah. Sekiranya upah seorang pengutip bayaran bersaingan dengan automasi, anda akan kekalkan pekerja itu,” katanya.

“Tetapi juga automasi jadi lebih mudah kerana gaji minimum bertambah, jadi apa yang akan berlaku mesin menggantikan pekerja dan bukannya pekerja dibayar lebih.”

Ferlito berkata faktor-faktor ini lagi relevan ketika pengangguran meningkat dan perniagaan masih merasai kesan perintah kawalan pergerakan.

Mengakui pasaran buruh perlu dirombak, Ferlito berkata penggubal dasar harus tumpu kepada menambahbaik jaringan perlindungan sosial untuk mengatasi kecemasan di masa depan.

“Sekiranya kita betul-betul mahu selamatkan pekerjaan, kita patut biarkan kuasa pasaran tentukan gaji daripada mengekalkan upah pada tahap tinggi secara bukan semulajadi,” katanya.

Minggu lepas, Jabatan Perangkaan menyemak semula had pendapatan garis kemiskinan (PGK) kepada RM2,208, lebih seganda daripada tanda aras sebelum ini, RM980.

Penilaian semula ini selari dengan keperluan semasa yang menekankan keperluan pemakanan yang optimum dan sihat dan keperluan asas bukan makanan yang berkualiti.

Perkembangan itu disambut seruan daripada beberapa pihak menyeru gaji minimum dinaikkan. Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) berkata tahap RM1,100 hingga RM1,200 tidak lagi realisitik, terutama bagi penduduk bandar.

Setiausaha Agung J Solomon berkata semakan itu tepat pada masanya dan akan membantu Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi.

Katanya, MTUC sentiasa berpendirian pekerja berhak terima upah untuk sara hidup sebanyak RM2,700, memandangkan kos hidup di bandar yang lebih tinggi.

Mengatakan gaji minimum semasa rendah berbanding PGK, Solomon berkata Putrajaya patut menaikkannya secara berperingkat dalam tempoh 6 bulan akan datang.

Beliau juga menyeru kerajaan menaikkan gaji minimum untuk pekerja luar bandar ke tahap sama dalam 2 hingga 3 tahun akan datang, dan garis kemiskinan dikaji semula secara berkala.

Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) bagaimanapun berkata tidak praktikal menaikkan gaji minimum ketika ini, bimbang majikan yang terbeban dengan penambahan kos akan tutup.

Pengarah Eksekutif Shamsuddin Bardan berkata peningkatan gaji minimum boleh membawa kepada pemberhentikan pekerja, yang akan memaksa orang mencari kerja bebas dan kerja kontrak.

“Semasa pandemik, pekerja patut berterima kasih mereka masih bekerja dan tidak dibuang,” katanya, mengingatkan mereka yang masih bekerja mungkin dikenakan pengurangan gaji dan langkah pengurangan kos lain.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here