TOKYO, 18 Sept – Parti Demokratik Liberal (LDP), parti pemerintah Jepun mencadangkan agar pemilihan perdana menteri baharu diadakan pada 1 Okt ketika permulaan sesi khas Diet, susulan pengunduran Perdana Menteri Fumio Kishida.

Pemenang pemilihan kepimpinan LDP pada 27 Sept ini, hampir pasti menjadi perdana menteri baharu Jepun kerana kedua-dua dewan parlimen dikawal oleh gabungan pemerintah.

Perdana menteri baharu juga perlu mendapat sokongan daripada kedua-dua dewan itu.

Tarikh pemilihan dijangka dimuktamadkan pada 24 Sept, dengan Kabinet semasa akan memutuskan jadual rasmi pada hari yang sama.

Butiran seperti tempoh sesi khas Diet akan ditentukan oleh perdana menteri yang baharu.

Daripada sembilan calon yang bertanding untuk menggantikan Kishida, calon termuda, Shinjiro Koizumi menyuarakan hasrat untuk membubarkan Dewan Rakyat “secepat mungkin” jika beliau dipilih sebagai perdana menteri.

Tarikh 27 Okt dan 10 Nov disebut sebagai tarikh yang mungkin untuk pilihan raya Dewan Rakyat, namun perdana menteri mempunyai kuasa untuk menentukan tarikh pembubaran Dewan Rakyat.

Bagaimanapun, pilihan raya akan datang mesti diadakan sebelum Oktober 2025.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here