MUAR, 7 Mac — Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa mahu semua platform media untuk terus kekal menyampaikan maklumat bagi membantu perjalanan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, dengan baik.

Secara keseluruhannya, Annuar berkata beliau berpuas hati dengan liputan yang diberikan oleh semua media termasuk radio dan televisyen.

Katanya Kementerian Komunikasi dan Multimedia telah memberikan satu garis panduan untuk menggalakkan media seperti radio dan televisyen, membantu menyampaikan makumat-maklumat yang mendorong orang ramai supaya keluar mengundi

“Liputan media ok, saya tengok dan saya pantau, termasuk juga radio bukan sahaja televisyen. Jangan takut keluar mengundi, mereka harus keluar mengundi, pematuhan kepada SOP (prosedur operasi standard).

“…dan juga beberapa perkara atau mesej yang hendak disampaikan oleh pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Pilihan Raya, Polis Diraja Malaysia, Kementerian Kesihatan mesti diwar-warkan seberapa kerap oleh semua stesen radio dan televisyen,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Sementara itu, Annuar berkata pengundi di Johor dilihat menghargai kesungguhan, mesej, serta strategi Barisan Nasional (BN) yang praktikal diterjemahkan melalui Ikhtiar BN Johor, sekali gus menunjukkan konsistensi dalam kempen PRN Johor.

“BN mengekalkan bentuk kempen yang menunjukkan kita serius soal menguruskan negeri dengan lebih baik, bukan tempat untuk menyelesaikan pertelingkahan personaliti itu dan personaliti ini, dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata sepanjang siri jelajah bersempena PRN Johor, kempen BN juga yang bersifat sederhana serta tidak menyerang dan mengungkit isu-isu peribadi, diterima baik oleh rakyat, berbanding beberapa parti lain yang kelihatan cuba bertindak agresif.

Dalam pada itu, Annuar turut meluangkan masa pada Program Jelajah Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir-Santai Bersama Penduduk di Kampung Parit 2, Sagil dekat sini hari  ini.

Majlis ramah mesra itu turut dihadiri calon BN DUN Gambir Sahrihan Jani.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here