KANGAR, 8 MAC — Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICKids) di Perlis mendapat sambutan menggalakkan, apabila hampir 6,000 kanak-kanak atau 20.8 peratus telah menerima dos pertama sehingga hari ini.

Penyelaras Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Masjid Alwi Dr Ahmad Fadhzil Mohamad berkata sehingga kini seramai 28,000 kanak-kanak di negeri ini berusia antara yang berusia lima hingga 11 tahun, dikenal pasti layak menerima suntikan berkenaan.

Beliau berkata peratusan itu turut menunjukkan pencapaian lebih baik berbanding beberapa negeri lain seperti Terengganu, Sabah dan Kelantan, yang merekodkan jumlah penerima sekitar bawah 20 peratus.

“Saya harap orang ramai tidak lagi rasa was-was untuk  mendapat vaksin untuk diri mereka mahupun anak mereka, kerana telah banyak bukti klinikal dan data-data realistik menunjukkan bahawa pengambilan vaksin dapat memberi perlindungan berterusan terhadap ancaman COVID-19.

“Oleh itu saya menyeru masyarakat agar menggunakan peluang ini untuk mengambil suntikan masing-masing, bagi bersama-sama melindungi orang tersayang,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Bermula hari ini, program PICKids di PPV Masjid Alwi turut menawarkan dua pilihan vaksin jenis Pfizer dan Sinovac kepada setiap penerima suntikan berkenaan.

Dalam perkembangan sama, Ahmad Fadhzil berkata, menerusi data terkini yang direkodkan, sekitar 90 peratus kes positif COVID-19 di Perlis adalah berpunca daripada individu yang masih belum menerima dos penggalak.

Beliau berkata, Perlis juga turut menjadi negeri tertinggi yang merekodkan kadar kematian akibat COVID-19 bagi tempoh sejak dua minggu lalu dengan jumlah seramai 51 orang.

“Data ini menunjukkan bahawa pengambilan dos penggalak merupakan satu keperluan terutamanya kepada mereka yang masih belum lengkap menerima vaksin,” katanya.

Sementara itu, seorang ibu kepada tiga cahaya mata, Ruhaida Mohamad Mokhtar, 44 berkata beliau mengambil peluang untuk membawa anaknya menerima suntikan vaksin menerusi program PICKids, sebagai usaha bagi melindungi setiap ahli keluarganya.

Ruhaida berkata pada peringkat permulaan, beliau juga merasa curiga tentang pemberian vaksin bagi kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah, namun langkah itu dilihat amat diperlukan berikutan kadar jumlah kes yang semakin meningkat ketika ini.

“Dengan mengambil suntikan ini, ia sekurang-kurangnya dapat melindungi anak-anak kerana walaupun ia tidak dapat mengelak daripada jangkitan COVID-19 sepenuhnya namun kesan yang diterima itu sangat minimum,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here