SHAH ALAM, 18 Mac — Sebanyak RM960.744 juta nilai pelaburan berpotensi berjaya dicapai pada Minggu Selangor di Expo 2020 Dubai yang berlangsung dari 6 Mac hingga 12 Mac lepas, kata Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perdagangan, Perindustrian dan Industri Kecil dan Sederhana negeri Datuk Teng Chang Khim.

Beliau memaklumkan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini bahawa jumlah itu melebihi sasaran mingguan yang ditetapkan oleh kerajaan Persekutuan iaitu RM500 juta bagi setiap minggu yang dihoskan.

Katanya sepanjang seminggu program tersebut dilaksanakan, sebanyak 158 padanan perniagaan telah berjaya diadakan antara ahli perniagaan dan pelabur antarabangsa dengan ahli delegasi dan mereka telah menyatakan hasrat untuk melebarkan pelaburan dan perniagaan di Selangor.

Teng berkata sebanyak 92 potensi kerjasama perniagaan berjaya diadakan melibatkan sektor pergudangan, perkhidmatan perundingan pengurusan, perkhidmatan perundingan kewangan, komunikasi serta multimedia dan keusahawanan.

“Memorandum perjanjian antara Northport (Malaysia) Bhd dan Seahawk Lines Shipping LLC juga dimeterai yang bernilai RM45 juta,” katanya.

Beliau menjawab pertanyaan Rozana Zainal Abidin (PH-Permatang) yang ingin mengetahui mengenai penyertaan kerajaan dan syarikat Selangor di World Expo Dubai dan pelaburan yang berjaya dibawa pulang.

Expo 2020 Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) diadakan bermula 1 Okt 2021 hingga 31 Mac 2022 bertempat di Dubai South Districts. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here