KUALA LUMPUR, 23 Mac — Usul lanjutan penguatkuasaan Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau SOSMA bagi tempoh lima tahun lagi, tidak diluluskan Dewan Rakyat, hari ini.

Usul yang dibentang Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin itu tidak diluluskan, setelah melalui undi belah bahagian yang menyaksikan 84 Ahli Parlimen bersetuju manakala 86 lagi tidak bersetuju.

Mengumumkan keputusan undi itu, Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Azhar Azizan Harun berkata seramai 50 Ahli Parlimen tidak hadir.

Terdahulu ketika menggulung usul itu, Hamzah berkata peruntukan Subseksyen 4(5) Akta itu perlu dilanjutkan dan tempoh tahanan 28 hari dikekalkan, bagi memberi ruang masa yang cukup kepada pihak polis bagi melengkapkan siasatan kes-kes kesalahan keselamatan, yang bersifat rumit dan kompleks.

“Tanpa subseksyen ini dilanjutkan, kualiti siasatan polis dikhuatiri akan terjejas, kerana ia dibuat secara tergesa-gesa iaitu selama 24 jam sahaja untuk menjalankan siasatan, menyediakan kertas siasatan, melengkapkan kertas siasatan dan seterusnya mengemukakannya kepada Timbalan Pendakwa Raya, untuk arahan selanjutnya,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here