SHAH ALAM, 29 Mac — Pengoperasian Fire Post Pulau Indah, Pelabuhan Klang dekat sini, akan meningkatkan lagi tahap keyakinan pelabur yang berpotensi untuk melabur di Pulau Indah pada masa akan datang.

Ketua Pegawai Eksekutif Central Spectrum (M) Sdn Bhd Mohamad Razif Abdul Wahab berkata pembukaan pos kawalan bomba itu adalah selaras dengan pelan induk pembangunan syarikatnya dalam menyediakan kawasan untuk perkhidmatan institusi kerajaan di Pulau Indah.

“Inisiatif ini turut mencerminkan jalinan kerjasama erat yang wujud antara pihak Central Spectrum dan pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dalam melaksanakan khidmat kemanusiaan kepada semua pelabur sedia ada, seterusnya meningkatkan lagi tahap keyakinan pelabur yang berpotensi untuk melabur di Pulau Indah pada masa akan datang,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Fire Post Pulau Indah yang terletak di Laguna Square, Laguna Park, Pulau Indah, adalah pos kawalan bomba pertama seumpamanya diwujudkan di Selangor.

Tambah Mohamad Razif, pengoperasian kemudahan itu juga akan memberi khidmat profesional pencegahan dan pemadaman kebakaran serta menyediakan khidmat kemanusiaan yang cekap dan berkesan.

Central Spectrum yang merupakan sebuah syarikat hartanah di bawah Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) Selangor adalah pihak bertanggungjawab untuk membangun dan mempromosikan Pulau Indah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here