KUALA LUMPUR, 31 Mac — Inflasi keseluruhan menyederhana kepada 2.2 peratus pada Februari daripada 2.3 peratus bulan sebelumnya, mencerminkan terutamanya inflasi yang lebih rendah dalam segmen pengangkutan pada 3.9 peratus daripada enam peratus pada Januari, kata Bank Negara Malaysia (BNM).

Bagi inflasi asas seperti yang diukur oleh inflasi teras, ia adalah lebih tinggi iaitu pada 1.8 peratus pada bulan Februari berbanding 1.6 peratus pada bulan Januari, didorong terutamanya oleh makanan di luar rumah dan sewaan.

“Pertumbuhan eksport kekal kukuh pada bulan Februari, meningkat sebanyak 16.8 peratus (Jan: 23.9 peratus), mencerminkan produk eksport Malaysia yang terus utuh,” kata BNM dalam sorotan bulanan bagi bulan Februari, 2022.

Bank pusat menambah pada masa hadapan, prestasi eksport akan terus mendapat manfaat daripada pengembangan permintaan luaran dan peningkatan kitaran teknologi global.

Selain itu, harga komoditi yang tinggi akan memberikan sokongan kepada pertumbuhan eksport.

Walau bagaimanapun, prospek perdagangan masih bergantung pada perkembangan pandemik, gangguan rantaian bekalan global serta risiko berhubung dengan prospek pertumbuhan global berikutan konflik ketenteraan di Ukraine.

BNM berkata pertumbuhan pembiayaan bersih mampan pada 4.8 peratus apabila pertumbuhan bon korporat terkumpul meningkat (Feb: 5.2 peratus; Jan: 5.0 peratus) manakala pertumbuhan pinjaman terkumpul stabil pada 4.7 peratus.

Pinjaman isi rumah terkumpul terus berkembang pada 4.7 peratus, mencerminkan pertumbuhan yang secara amnya mampan merentas kebanyakan tujuan.

Bagi sektor perniagaan, pertumbuhan pinjaman terkumpul meningkat (Feb: 5.5 peratus; Jan: 5.3 peratus) berikutan pemberian pinjaman yang lebih tinggi kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan pertumbuhan yang mampan dalam pinjaman modal kerja.

“Pertumbuhan dalam jumlah pengeluaran pinjaman menjadi sederhana pada bulan Februari tetapi kekal tinggi (Feb: 12.3 peratus; Jan: 21.5 peratus; purata 2017-2019: 5.0 peratus) apabila pertumbuhan pengeluaran pinjaman bagi perniagaan terus meningkat,” jelas bank pusat.

Sementara itu, pasaran kewangan domestik teratur dalam keadaan konflik geopolitik yang berterusan.

 Pada bulan Februari, konflik ketenteraan di Ukraine telah menjejaskan pasaran kewangan global, menyebabkan volatiliti meningkat.

“Walau bagaimanapun, limpahan kepada pasaran kewangan domestik dan keadaan kewangan yang lebih meluas dapat dibendung, mencerminkan sentimen pelabur yang positif, memandangkan kedudukan Malaysia sebagai pengeksport komoditi bersih dalam keadaan harga komoditi global yang lebih tinggi.

“Pasaran ekuiti domestik telah meningkat, didorong oleh sektor perladangan. FBM KLCI meningkat sebanyak 6.3 peratus kepada 1,608 mata pada akhir bulan Februari, kadar hasil MGS 10 tahun menurun sebanyak 0.6 mata asas manakala ringgit menyusut nilai sebanyak 0.3 peratus, tambahnya.

Bagi sistem perbankan, BNM berkata ia terus mengekalkan kedudukan mudah tunai  yang utuh dengan nisbah perlindungan mudah tunai kekal kukuh pada 151.3 peratus dan profil pendanaan bank-bank kekal stabil disokong oleh pertumbuhan deposit yang mampan.

Nisbah pinjaman terjejas kasar dan bersih masing-masing kekal rendah pada 1.5 peratus dan 0.9 peratus.

“Bank-bank terus berhemat dalam peruntukan pinjaman untuk menjadi penampan terhadap potensi kerugian kredit, dengan jumlah peruntukan dan rizab pengawalseliaan berjumlah hingga RM41.1 bilion (Jan-22:RM40.8 bilion),” kata BNM.

Jumlah peruntukan berada pada 1.9 peratus daripada jumlah pinjaman sistem perbankan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here