PUTRAJAYA, 4 April — Kapasiti kemasukan ke bazar Ramadan Presint 3 di sini ditingkatkan kepada 2,250 pengunjung pada satu-satu masa mulai hari ini berbanding 1,250 orang pada hari pertama operasi semalam.

Pengarah Bahagian Pelesenan, Jabatan Perkhidmatan Bandar Perbadanan Putrajaya (PPj) Jeffri Mustapa berkata pihak perbadanan itu mengambil maklum rintihan orang ramai yang terpaksa beratur panjang serta mengambil masa bagi menunggu giliran untuk mendapatkan pas masuk ke bazar semalam.

Kemasukan pengunjung ke bazar Ramadan Presint 3 adalah menggunakan sistem pas masuk khas bagi memastikan kawasan bazar tidak sesak.

“Sekarang 2,250 orang akan dibenarkan masuk pada satu-satu masa melalui tiga pintu masuk ke bazar yang beroperasi sejak 3 petang dan angka itu mungkin ditambah sekiranya perlu,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.

Menurut Jeffri, rekod MySejahtera menunjukkan terdapat lebih 5,300 orang berkunjung ke bazar Ramadan itu semalam, melebihi sasaran 3,000 orang.

“Kita hanya sediakan 1,250 pas masuk sahaja (semalam). Mungkin sebab hujung minggu, ramai datang bersama keluarga,” katanya.

Situasi semalam turut mendapat perhatian Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Jalaluddin Alias yang mahu PPj meneliti pelan kontingensi bagi mengatasi aduan orang ramai.

“Mohon permudahkan urusan rakyat, jangan persulitkan keadaan.

“Yang penting bagi saya, semua pengunjung dapat berpeluang untuk menikmati pelbagai pilihan juadah berbuka. Inilah juga peluang untuk para peniaga dapat melariskan juadah mereka setelah lebih dua tahun kita berada dalam pandemik,” katanya dalam satu ciapan Twitternya hari ini.

Tinjauan di bazar Ramadan itu sekitar 5 petang hari ini mendapati pengunjung tidak lagi beratur panjang di kesemua pintu masuk dan pergerakan orang ramai juga dilihat lancar.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here