KUALA LUMPUR, 12 April — Malaysia mencatat 7,739 kes baharu COVID-19 semalam dengan 99.13 peratus daripadanya adalah kategori satu dan dua, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata daripada jumlah itu, 67 kes atau 0.87 peratus adalah kategori tiga, empat dan lima dengan 24 kes melibatkan mereka yang tidak divaksin atau belum lengkap vaksinasi, 16 kes telah menerima dua dos vaksin COVID-19 tetapi belum menerima dos penggalak dan 27 kes telah menerima dos penggalak.

Pertambahan kes baharu semalam menjadikan jumlah kumulatif kes COVID-19 negara kini 4,333,557 kes manakala dua kluster baharu dilaporkan semalam, menjadikan jumlah kluster aktif kini 126 kluster, katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata sebanyak 427 kes COVID-19 dimasukkan ke hospital semalam dengan 187 kes (43.8 peratus) daripadanya adalah kategori tiga, empat dan lima manakala baki 240 kes (56.2 peratus) merupakan kategori satu dan dua.

Dr Noor Hisham jumlah kes sembuh yang dilaporkan semalam juga melebihi kes baharu apabila 19,049 kes sembuh dilapor menjadikan kumulatif kes sembuh 4,163,777.

Bagi penggunaan fasiliti kesihatan khusus bagi kes COVID-19 pula, beliau berkata Putrajaya mencatat peratusan pengisian melebihi 50 peratus bagi penggunaan katil unit rawatan rapi (ICU) setakat semalam iaitu 100 peratus manakala Selangor 52 peratus.

Bagi pengisian katil di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC), tiada negeri mencatat peratusan pengisian melebihi 50 peratus.

Kadar kebolehjangkitan COVID-19 atau nilai Rt dicatatkan di seluruh negara semalam pula adalah 0.84, dengan Selangor kekal merekodkan kadar tertinggi iaitu 0.92 manakala Kelantan mencatat kadar paling rendah dengan 0.66.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here