KOTA KINABALU, 12 April — Pemasangan 4,000 skrin pengiklanan digital dan 24 skrin pengiklanan gergasi di 12 bandar utama di Sabah dilihat dapat meningkatkan lagi imej kawasan perbandaran terbabit.

Projek itu akan dilaksanakan dalam dua fasa dengan fasa pertama membabitkan lima pihak berkuasa tempatan (PBT) iaitu Majlis Daerah Tuaran; Majlis Daerah Keningau; Majlis Daerah Putatan; Majlis Daerah Penampang dan Majlis Perbandaran Tawau.

Pelaksanaan projek tersebut telah dimeterai dalam majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Yayasan Bumiputera Sabah (YBS) dan lima PBT terbabit, dengan kerjasama strategik Yunus Property Consultant Sdn Bhd.

Sesi memeterai MoU antara Pengerusi YBS Senator Datuk John Ambrose dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan YBS Asno Amat Muda serta pengerusi dan setiausaha eksekutif PBT terbabit disaksikan oleh Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor di sini malam ini.

Berucap pada majlis itu, John Ambrose berkata projek rintis itu adalah satu bentuk jalinan strategik bersifat menang-menang yang kelak akan memberi nafas baharu kepada Sabah dari segi keceriaan dan tata hias landskap.

“Ini sekali gus mampu menjadi tarikan kepada rakyat tempatan serta pelancong luar, dan secara tidak langsung akan menjadikan Sabah sebagai negeri kekinian (up-to-date) kepada kemodenan,” katanya.

John Ambrose berkata YBS akan memberi masa siaran selama sejam secara percuma pada setiap bulan kepada semua PBT terlibat dengan kos penggunaan elektrik ditanggung sepenuhnya oleh yayasan.

“Langkah ini akan menjana pendapatan dari aspek pengiklanan untuk mengukuhkan lagi sumber kewangan PBT,” katanya.

Projek pengiklanan digital itu juga dilihat akan memberi manfaat besar kepada golongan usahawan di Sabah dalam mempromosikan perniagaan dengan kos ditawarkan pada harga berpatutan, katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis itu,  Ketua Pegawai Eksekutif Yunus Property Mohd Yunus Apil berkata sebanyak 2,424 unit skrin LED akan dipasang menerusi fasa pertama projek itu manakala selebihnya untuk fasa dua yang dijadual dilaksanakan pada Feb tahun depan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here