BERA,17 April — Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) akan melaksanakan beberapa langkah bagi mengurangkan peranan orang tengah dalam usaha membolehkan barangan dijual dengan harga yang lebih murah.

Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata menerusi sistem ladang kontrak dan pusat edaran sendiri peranan orang tengah dapat dikurangkan sekali gus memberi manfaat kepada pembeli di koperasi sedia ada.

“Dengan adanya pusat edaran sendiri dan pertanian kontrak yang kami akan susun, kami dapat kurangkan peranan orang tengah, jika dapat kurangkan peranan orang tengah, dapat kurangkan harga barang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian MG Coopmart-Kopbera & Jualan Murah Semarak Ramadan Keluarga Malaysia Parlimen Bera di sini hari ini yang disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Katanya inisiatif itu selari dengan aspirasi Perdana Menteri yang pernah berjihad memerangi peranan orang tengah ketika memegang jawatan sebagai  Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani.

Menyentuh mengenai Coopmart, Noh berkata koperasi itu dilihat dapat menjadi tempat bergantung, sekiranya pengguna ingin memiliki harga barangan yang murah.

“Coopmart akan berkhidmat beri bantuan kepada rakyat terutama dalam jualan harga murah,” katanya.

Sementara itu, beliau memaklumkan pihaknya telah meluluskan peruntukan bantuan banjir sebanyak RM15.6 juta kepada 5,218 usahawan di Pahang dengan setiap daripada mereka mendapat geran sebanyak RM3,000.

Kerajaan sebelum ini memperuntukkan RM150 juta bagi usahawan mikro dan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) yang terkesan akibat banjir.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here