PUTRAJAYA, 18 April — Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) sedang menilai penggunaan cecair nano berasaskan grafin di Malaysia, bagi mengurangkan penggunaan tenaga sistem penyaman udara berpusat.

MOSTI dalam satu kenyataan menyatakan cecair nano berasaskan grafin dihasillkan Blue Snow Consulting & Engineering Sdn Bhd boleh menggantikan air sebagai medium dalam sistem penyejukan, dan digunakan dalam semua sistem penyaman udara komersial berpusat berasaskan pendingin bagi mengurangkan penggunaan tenaga.

Berbanding air, cecair nano berasaskan grafin berupaya meningkatkan pemindahan haba dan mengurangkan penggunaan tenaga (kWh) pada kadar purata 20 hingga 30 peratus, serta dapat mengurangkan pelepasan karbon dengan ketara.

“Ini adalah selaras dengan inisiatif kerajaan Malaysia untuk menangani isu perubahan iklim dan menjadi sebuah negara neutral karbon menjelang tahun 2050.

“Selain mampu menjimatkan kos dengan pulangan pelaburan dapat diperoleh dalam masa kurang tiga tahun, cecair nano ini tidak meninggalkan jejak pemasangan kerana bahan ini masih menggunakan infrastruktur paip sedia ada,” menurut kenyataan MOSTI itu.

Kenyataan tersebut dikeluarkan sempena lawatan teknikal Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr  Adham Baba bersama Ketua Setiausaha MOSTI Datuk Zainal Abidin Abu Hassan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Syarikat NanoMalaysia Berhad (NMB) Dr Rezal Khairi Ahmad ke Blue Snow di Petaling Jaya hari ini.

Projek cecair nano berasaskan grafin dibangunkan oleh Blue Snow di bawah Pelan Tindakan Grafin Kebangsaan (NGAP) 2020 dengan kerjasama NMB, yang merupakan agensi utama di Malaysia dalam usaha pengkomersialan dan perindustrian nanoteknologi melalui model pembangun usaha sama.

Kenyataan MOSTI menyebut kerjasama itu dilaksanakan sejak 2018 bermula dari peringkat Bukti Konsep hinggalah ke peringkat Peningkatan Skala yang sedang dijalankan sekarang.

Saiz pasaran bagi cecair pemindahan haba untuk Malaysia pada tahun 2024 dianggarkan bernilai RM71.3 juta manakala untuk pasaran Asia-Pasifik (APAC) pula ialah USD1.253 bilion.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here