GEORGE TOWN, 6 Mei — Polis Pulau Pinang mengeluarkan sebanyak 9,685 saman dalam tempoh tujuh hari pelaksanaan Op Selamat 18 sempena Aidilfitri yang dilancarkan pada 29 April lepas dengan 803 kemalangan direkodkan sepanjang tempoh itu.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik Pulau Pinang Supt Zafri Zokapli berkata kesalahan utama merekodkan jumlah paling tinggi saman membabitkan kesalahan memandu di lorong kecemasan, memandu dengan laju, memotong di garisan berkembar dan memandu sambil menggunakan telefon bimbit.

“Daripada 803 kemalangan yang dicatatkan di Pulau Pinang, sebanyak lapan kemalangan maut direkodkan sepanjang tempoh tersebut. Setakat ini, anggaran kenderaan masuk ke negeri ini sejak Jumaat lepas ialah 2.3 juta,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Zafri berkata secara keseluruhan, aliran trafik di semua laluan di negeri itu masih lagi berjalan lancar dan terkawal walaupun terdapat pertambahan jumlah kenderaan terutama di kawasan pusat bandar George Town.

Beliau berkata bermula di Plaza Tol tol Juru menghala tol Sungai Dua di Lebuh Raya Utara Selatan di kedua-dua arah berlaku kesesakan serta kenderaan padat berikutan orang ramai mula pulang ke rumah masing-masing kerana akan kembali bekerja selepas cuti Aidilfitri.

“Orang ramai diminta terus mematuhi peraturan jalan raya dan tidak memotong barisan atau menggunakan laluan kecemasan kerana pasukan trafik sentiasa membuat pemantauan serta pemeriksaan secara berkala di kawasan lebuh raya dan jalan raya di sekitar Pulau Pinang,” katanya.

Sebelum ini, polis Pulau Pinang menjangkakan jumlah kenderaan yang melalui Pulau Pinang untuk menuju kawasan utara meningkat hingga 3.6 juta ketika orang ramai pulang ke kampung menjelang sambutan hari raya.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain dilaporkan berkata selain itu, pihak polis juga menjangka kira-kira 1 juta kenderaan akan memasuki Pulau Pinang bukan sahaja untuk sambutan Aidilfitri malah melancong berikutan cuti panjang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here