GEORGE TOWN, 6 Mei — Selepas tertangguh selama dua tahun, pameran pelancongan Pasaran Pelancongan Antarabangsa Malaysia (MITM) akan kembali pada Julai depan dan menyasarkan jualan sebanyak RM70 juta.

Penganjuran MITM kali terakhir oleh Persatuan Pelancongan Cina Malaysia (MCTA) adalah pada 2019 di Pusat Pameran Mid Valley, Kuala Lumpur sebelum terhenti akibat COVID-19.

Presiden MCTA, Paul Paw berkata Pameran Pelancongan MITM  2022 dijadualkan dari 8-10 Julai di Pusat Pameran Mid Valley dan kerajaan Pulau Pinang adalah penaja rasmi untuk acara itu. 

“Kami menjangkakan perolehan yang tinggi sebanyak RM70 juta pada tahun ini, bagi menghidupkan kembali pelancongan selain menangani peningkatan permintaan terhadap produk berkenaan selepas ditutup selama dua tahun akibat pandemik,” katanya kepada pemberita hari ini dalam satu acara untuk mempromosikan pameran pelancongan itu.

Dengan lebih 292 ruang pameran disahkan, Pameran Pelancongan MITM 2022 dijangka menarik lebih 70,000 pengunjung. 

Selain pameran pelancongan MITM di Kuala Lumpur, Pulau Pinang juga akan menjadi tuan rumah pameran pelancongan MITM yang sama menjelang 2 hingga 3 Julai depan manakala Perak akan menjadi penganjur pada 1-3 Julai.

Terdahulu, kerajaan Pulau Pinang, yang diwakili oleh Penang Global Tourism telah memeterai memorandum persefahaman dengan MITM untuk menjadi penaja rasmi acara itu. Negeri tersebut akan dipromosikan secara meluas semasa pameran pelancongan MITM.

Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Pulau Pinang Yeoh Soon Hin berkata kerajaan negeri, sebagai penaja rasmi untuk MITM Travel Fair 2022, akan menyediakan Pulau Pinang dengan jangkauan yang lebih luas kepada pelancong domestik dan antarabangsa. “Kami akan memaparkan kepelbagaian wajah Pulau Pinang dalam lapan pameran yang terletak di lokasi premium dan akan menampilkan negeri ini sebagai ‘Destinasi Pilihan Malaysia’ semasa pameran pelancongan selama tiga hari,” tambahnya.

Menurut Yeoh lagi, kerajaan negeri sentiasa mempromosikan dan membangunkan industri pelancongan bagi mengubah Pulau Pinang menjadi destinasi pelancongan yang unggul, mampan, pelbagai serta pintar, sambil menambah bahawa ia bertekad dan komited terhadap semua usaha untuk menghidupkan semula sektor pelancongan negeri itu

“Walaupun kami melihat sambutan yang memberangsangkan dan pertambahan kemasukan pelancong domestik ke Pulau Pinang semasa cuti panjang baru-baru ini, kami tidak boleh leka. Untuk kembali ke zaman kegemilangan sebelum pandemik, masih terdapat banyak halangan yang perlu dilakukan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here