SIBU, 9 Mei — AirAsia sedang menjalankan kajian daya maju bagi laluan baharu Sibu-Singapura berikutan permintaan daripada penduduk di wilayah tengah Sarawak itu, kata Menteri Pengangkutannya Datuk Seri Lee Khim Shin.

Beliau berkata dalam mesyuarat dengan AirAsia baru-baru ini, Sarawak juga telah meminta agar syarikat penerbangan tersebut menambah jumlah penerbangan ke negeri itu.

“AirAsia sedang mengkaji hal itu dan akan menjalankan kajian pemasaran bagi memastikan maklum balasnya,” katanya kepada wartawan selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Trafik Bahagian Sibu di sini, hari ini.

Lee berkata selain Air Asia, mesyuarat turut diadakan dengan Malindo Air, Firefly dan MASwings dalam usaha kerajaan negeri menambah jumlah penerbangan ke Sarawak susulan pembukaan semula sempadan.

Beliau berkata kerajaan negeri mahu menghidupkan semula sektor Kuching-Pontianak, yang digantung selepas penularan pandemik COVID-19.

Royal Brunei Airlines telah menyambung semula penerbangan dua kali seminggu ke Kuching awal bulan ini, sementara Scoot Tigerair menyambung semula sektor Singapura-Kuching dengan lima penerbangan seminggu bermula 3 April lepas.

Dalam perkembangan lain, Lee berkata kerajaan negeri sedang menimbangkan untuk menghidupkan semula Petandingan Lalu Lintas Shell bagi mendedahkan dan mendidik murid mengenai keselamatan serta peraturan jalan raya.

“Kita mempunyai taman lalu lintas di Sibu, Miri, Bintulu dan tempat lain, dan kita biasa mengadakan pertandingan tersebut sebelum ini. Dengan mengadakan pertandingan ini, kita akan dapat mendidik anak-anak kita mengenai keselamatan jalan raya dan menjadi pengguna jalan raya yang bertanggungjawab pada masa depan,” katanya, sambil menambah pertandingan itu diadakan kali terakhir pada 1990-an.

Lee juga berkata kementeriannya dan Pihak Berkuasa Multimedia Sarawak (SMA) akan memasang lampu isyarat pintar di kawasan yang mengalami kesesakan teruk di Sibu tahun ini.

“Pelaksanaan akan dibuat secara berfasa dan diharap lampu isyarat pintar ini akan mengurangkan kesesakan lalu lintas hingga kira-kira 30 peratus,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here