KUALA LUMPUR, 17 Mei — Langkah Bank Negara Malaysia (BNM) untuk menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) kepada 2.0 peratus bertujuan bagi memastikan dasar monetari kekal akomodatif untuk menyokong pertumbuhan ekonomi yang mampan dan pada masa sama ia membolehkan ekonomi berdaya tahan terhadap sebarang kejutan luaran, kata SME Bank.

Dalam satu kenyataan, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Dr Aria Putera Ismail berkata memandangkan ekonomi domestik berkembang pada tahap yang lebih kukuh, SME Bank menjangkakan tahap akomodatif monetari (kadar faedah) akan dikurangkan secara terukur dan beransur-ansur terutamanya dalam persekitaran kestabilan harga.

Sementara itu, Ketua Pegawai Risiko Kumpulan SME Bank, Mohammad Azam Ahmad berkata ekoran pelbagai usaha kerajaan untuk memulihkan ekonomi ketika negara beralih ke peringkat endemik, ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan positif sebanyak lima peratus pada suku pertama 2022 daripada 3.6 peratus pada sukuk keempat 2021.

“Ini disokong kebanyakannya oleh permintaan domestik yang bertambah baik memandangkan aktiviti ekonomi pulih dengan kelonggaran langkah kawalan dan pencegahan COVID-19 dan pertumbuhan eksport yang kukuh,” katanya.

Azam berkata aktiviti ekonomi dijangka akan berkembang lebih pesat memandangkan kesan positif berikutan peralihan ke peringkat endemik terus dialami oleh semua sektor ekonomi terutama dengan pembukaan semula sempadan antarabangsa.

“Daripada segi penawaran, sektor perkhidmatan dan pembuatan terus memacu pertumbuhan ekonomi, masing-masing berkembang sebanyak 6.5 peratus dan 6.6 peratus,” katanya.

Bagaimanapun, SME Bank berkata tekanan inflasi telah meningkat secara mendadak disebabkan oleh kenaikan harga komoditi, rantaian bekalan yang terjejas dan keadaan permintaan yang kukuh terutamanya di Amerika Syarikat.

Justeru, beberapa bank pusat telah mengetatkan tetapan dasar monetari mereka pada kadar yang lebih pantas untuk mengurangkan tekanan inflasi.

Ia berkata sehingga Mac 2022, inflasi utama Malaysia tidak berubah pada 2.2 peratus manakala inflasi teras meningkat kepada 2.0 peratus daripada 1.8 peratus pada Februari.

“Ini mencerminkan pelarasan harga dalam persekitaran kos yang lebih tinggi dan keadaan permintaan bertambah baik dengan kenaikan harga menjadi lebih ketara khususnya untuk barangan makanan disebabkan faktor berkaitan bekalan seperti harga komoditi global yang lebih tinggi,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here