SHAH ALAM, 22 Mei — Polis Selangor menyifatkan jenayah penipuan Macau Scam di negeri itu berada di tahap membimbangkan dengan 156 kes dicatat melibatkan kerugian RM19.8 juta dalam tempoh Januari hingga April tahun ini.

Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed berkata daripada jumlah tersebut, majoriti daripadanya melibatkan penipuan transaksi dalam talian dengan menyamar antaranya sebagai penjawat awam dan penjualan barangan dalam kuantiti banyak.

“Yang paling tinggi melibatkan kes tipu menyatakan mereka (sindiket) adalah pegawai dari Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan Tabung Haji. Ini melibatkan kerugian paling banyak,” katanya selepas Majlis Tamat Latihan dan Penyampaian Sijil Pelantikan Pegawai Sukarelawan Polis Siswa-Siswi (Kor Suksis) Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam hari ini.

Arjunaidi berkata berdasarkan pemerhatian pihaknya mendapati mangsa kes tipu dalam talian meliputi semua golongan termasuk kakitangan kerajaan dan korporat.

Jelasnya, punca utama kes penipuan itu masih berleluasa adalah kerana mangsa mendapat panggilan cepat panik dan mempercayai individu yang menyamar khususnya sebagai penjawat awam atau penjual barangan.  

“Misalnya, dia (penjenayah) telefon mangsa  dan kata mereka dari LHDN…mereka selepas itu sambungkan panggilan ke pihak polis. Adalah tidak logik panggilan LHDN itu untuk  sambungkan talian kepada pegawai penyiasat polis. 

“LHDN dan polis mereka tidak pernah duduk sepejabat. Jadi kita nasihatkan orang  ramai supaya tidak cepat panik kalau terima panggilan sebegini,” katanya.

Di samping itu, Arjunaidi berkata undang-undang sedia ada di bawah peruntukan Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu tipu perlu dipinda agar ia seiring dengan teknologi yang kian berkembang.

“Undang-undang sedia ada tidak menepati keadaan sekarang dengan adanya sistem perbankan dan pemindahan wang dalam talian,” katanya.

Beliau berkata walaupun penjenayah tersebut ditangkap dan didakwa di mahkamah, jelasnya ia akan menimbulkan masalah dari segi pertuduhan kerana undang-undang sedia ada lebih melibatkan kes penipuan secara bersemuka.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here