KUALA LUMPUR, 2 Jun — Kementerian Pengangkutan akan mengkoordinasi dengan pihak berkuasa dan kementerian-kementerian berkaitan bagi mempercepatkan proses mendapatkan pensijilan E untuk membantu syarikat menjual kenderaan dan alat ganti, kata Menterinya Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Pensijilan E adalah proses penilaian, pematuhan, pengujian dan pensijilan terhadap komponen automotif serta sistem kenderaan bermotor berdasarkan peraturan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk memastikan tahap keselamatan sesuatu kenderaan.

Wee berkata kesukaran mendapatkan pensijilan tersebut merupakan antara isu dihadapi lebih 1,100 syarikat di bawah Persatuan Peniaga Alat Ganti Kejuruteraan Dan Kenderaan Selangor Dan Wilayah Persekutuan (EMPTA) dan syarikat-syarikat lain di seluruh negara yang terlibat dalam perdagangan alat ganti kenderaan. 

“Masalah lain yang dialami adalah berkaitan kesukaran mendapatkan Kod HS untuk perdagangan dengan negara-negara bukan ASEAN, permohonan Kelulusan Jenis Komponen (CTA) serta Kelulusan Jenis Kenderaan (VTA),” kata Wee menerusi catatan di Facebook rasmi beliau hari ini.

Terdahulu, Wee menerima kunjungan daripada pengurusan EMPTA terdiri daripada Timbalan Pengerusi Tan Hang Cha; Setiausaha Agung Tan Hang Chai dan pembantu Setiausaha Agung Darren Wong. 

Selain itu, Wee berkata pihaknya juga akan memberi perhatian terhadap kebimbangan penjual dan pemilik kedai alat ganti yang tidak dapat membekalkan alat ganti dan perkhidmatan untuk membaiki kereta Proton model X50 dan X70.

“Kami akan melihat sama ada ini melanggar mana-mana peraturan persaingan atau mengurangkan hak pembaikan bagi pemilik model ini,” katanya sambil menambah perbincangan lanjut bersama industri perniagaan akan diadakan selain mengalu-alukan lebih banyak sesi dialog bagi membincangkan isu-isu berkaitan industri automotif dan alat ganti kenderaan.

Dalam satu lagi catatan, Wee berkata beliau telah menyaksikan majlis menandatangani Perjanjian Tambahan Kejuruteraan, Perolehan, Pembinaan dan Pentauliahan (EPCC) Nombor Enam untuk projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) antara Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dengan China Communications Construction Company Ltd (CCCC) bersama Duta Besar China ke Malaysia Ouyang Yujing.

Menurut Wee, Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Datuk Isham Ishak mewakili kerajaan Malaysia menandatangani perjanjian tersebut bersama Ketua Pegawai Eksekutif MRL Datuk Seri Darwis Abdul Razak manakala pihak CCCC diwakili Pengarah Urusan China Communications Construction (ECRL) Sdn Bhd Kong Qi serta Timbalan Pengarah Projek/Ketua Jurutera Deng Bo.

Apabila beroperasi pada awal Januari 2027, ECRL akan memulakan perkhidmatan mengangkut kargo dan membawa penumpang dari Pantai Timur menerusi Kota Bharu, Kelantan ke Terminal Pengangkutan Bersepadu (ITT) Gombak yang merupakan pintu masuk ke Kuala Lumpur dengan melalui kawasan perindustrian dan kediaman.

Perjalanan dari Kota Bharu ke ITT Gombak dan sebaliknya dijangka mengambil masa hanya empat jam menggunakan ECRL, berbanding purata tujuh jam melalui jalan darat atau sehingga 12 jam pada musim perayaan.

Pembinaan ECRL dijangka dapat memacu pertumbuhan sektor pembinaan dan bahan binaan serta menyokong pengambilan tenaga kerja tempatan yang merangkumi profesional, pekerja mahir dan pekerja am untuk aktiviti berkaitan pembinaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here