KUALA LUMPUR, 5 Jun — Bekas perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan  tuduhan beliau mengesahkan telah mendapat sokongan majoriti ahli-ahli Parlimen untuk dilantik semula sebagai Perdana Menteri.

“Beberapa hari lalu timbul tuduhan bahawa saya memberitahu pemimpin sebuah parti politik bahawa saya telah mendapat sokongan majoriti ahli-ahli Parlimen untuk dilantik semula sebagai Perdana Menteri.

“Saya ingin tegaskan bahawa saya tidak pernah memberitahu atau mengesahkan kepada sesiapa bahawa saya telah mendapat sokongan majoriti ahli-ahli Parlimen. Tuduhan tersebut adalah tidak benar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Muhyiddin, yang juga Presiden Bersatu, berkata dalam siri pertemuannya dengan beberapa pimpinan parti politik selain Barisan Nasional (BN), perbincangan berkisar kepada merintis persefahaman menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Beliau berkata perkara itu dibincangkan secara tidak rasmi apabila terdapat beberapa ahli politik dari parti-parti pembangkang yang menemuinya selepas Pilihan Raya Negeri  (PRN) Johor lepas.

“Rata-rata berpendapat cara yang terbaik untuk menghadapi PRU-15 ialah dengan mengusahakan formula satu lawan satu menentang BN.

“Ini kerana kemenangan BN dalam PRN Melaka dan Johor adalah semata-mata kerana undi parti-parti selain BN berpecah. BN tidak mendapat sokongan majoriti rakyat malah sokongan kepada parti itu tidak bertambah,” katanya. 

Susulan itu, Muhyiddin berkata beliau mengambil inisiatif berhubung dengan pimpinan parti-parti politik tersebut setelah mendapat persetujuan Biro Politik Bersatu dan Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu.

Menurutnya formula satu lawan satu yang dikemukakan Bersatu bersifat kerjasama atau persefahaman pilihan raya (electoral pact) yang tidak melibatkan pembentukan satu gabungan baharu parti-parti politik.

Katanya pintu rundingan Bersatu sentiasa terbuka kepada parti-parti selain BN untuk mencapai kata sepakat mengenai formula terbaik bagi menghadapi PRU15.

Isnin lalu, Presiden Parti Warisan Malaysia (Warisan), Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal mendakwa Muhyiddin menghubunginya dua bulan lalu untuk mendapatkan sokongannya untuk menjadi Perdana Menteri semula.

Menurut Ahli Parlimen Semporna itu, Muhyiddin juga mendakwa telah mendapat sokongan 119 Ahli Parlimen di Dewan Rakyat yang mempunyai 222 anggota.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here