KOTA BHARU, 9 Jun — Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Kelantan menyasarkan lebih 40,000 majikan di negeri ini mendaftarkan perusahaan dan pekerja mereka menjelang akhir tahun ini.

Pengarahnya Nora Yaacob berkata berdasarkan rekod hanya 30,949 majikan membabitkan pelbagai sektor di seluruh Kelantan yang mendaftarkan perusahaan dan pekerja mereka setakat Mei lepas.

Katanya keperluan mendaftar selari dengan peruntukan di bawah Seksyen 4 dan 5 Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969, Seksyen 14 dan 16 Akta Skim Insurans Pekerjaan (Akta 800) yang mula berkuat kuasa pada 1 Jan 2018 serta Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 (Akta 789) mulai 1 Jan 2017.

“Undang-undang di bawah Akta 4 dan Akta 800 yang melibatkan dua kesalahan utama iaitu kegagalan majikan berdaftar dan kegagalan majikan mendaftarkan pekerja dan bagi Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (Akta 789). Perkeso juga akan mengeluarkan arahan pematuhan serta tindakan tegas sekiranya masih gagal mencarum. 

“Malah, seperti yang diketahui, semua majikan atau individu yang mempunyai seorang pekerja tempatan atau pekerja asing wajib mendaftar dan mencarum dengan Perkeso di bawah Akta 4 dan Akta 800. Ini termasuk individu yang menggaji pekerja domestik seperti pembantu rumah, pembantu peribadi, tukang kebun, penjaga bayi dan sebagainya,” katanya pada sidang media di Pejabat Perkeso Kelantan, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Nora berkata bagi memastikan akta berkenaan dipatuhi, pihaknya telah melancarkan Ops Pemutihan sepanjang Mei lepas untuk memberi peluang kepada semua individu dan majikan yang mempunyai pekerja untuk berdaftar dengan Perkeso.

Katanya, menerusi Ops Pemutihan itu pihaknya telah merekodkan sebanyak 866 premis yang dilawati di sekitar daerah Tumpat, Tanah Merah, Pasir Puteh dan Kota Bharu.

“Daripada jumlah premis yang dilawati, pihak kami mendapati hanya 368 majikan mematuhi akta, manakala sebanyak 337 majikan belum mendaftar sama ada perusahaan mereka mahupun pekerja mereka selain 161 tidak layak mendaftar.

“Oleh itu, selepas Ops Pemutihan tamat pada Mei lepas pihak kami mula melaksanakan Ops Kesan bermula 1 Jun lepas. Perkeso tidak lagi memberikan peluang kepada mana-mana majikan dan orang bekerja sendiri yang tidak berdaftar atau mencarum dengan notis kompaun dikeluarkan serta-merta terhadap majikan atau individu yang melanggar peraturan,” katanya.

Menurut beliau mana-mana majikan mahupun individu yang dikompaun dalam tempoh 1 Jun hingga 31 Jun menerusi Ops Kesan ini, mereka akan diberikan diskaun bayaran kompaun antara 25 peratus sehingga 75 peratus.

“Pembayaran bagi tempoh tidak melebihi tujuh hari akan diberikan diskaun sebanyak 75 peratus. Bagi tempoh lapan sehingga 14 hari selepas kompaun dikeluarkan diskaun sebanyak 50 peratus dan selepas 15 hari hanya 25 peratus. Pada hari ke-31 tiada lagi pengurangan pembayaran dan majikan atau individu berkenaan juga berisiko akan didakwa,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here