SHAH ALAM, 14 Jun — Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan takziah atas pemergiaan tokoh pendidikan negara Tun Arshad Ayub, 93, yang menghembuskan nafas terakhir awal pagi tadi.

Al-Sultan Abdullah yang menzahirkan rasa dukacita baginda bertitah, Allahyarham adalah seorang tokoh dan negarawan yang bertanggungjawab sebagai arkitek penubuhan Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang kini terkenal di seluruh negara sebagai gedung modal insan pribumi yang teragung di Malaysia.

“Kehilangan beliau sangat dirasai oleh negara dan khususnya UiTM. Semoga segala jasa dan pengorbanan beliau dibalas dengan ganjaran pahala yang berlipat ganda dari Allah. Semoga roh beliau ditempatkan di kalangan para solihin,” titah baginda.

Al-Sultan Abdullah yang merupakan Canselor UiTM bertitah demikian di Istiadat Konvokesyen UiTM Ke-93 di Dewan Agung Tuanku Canselor UiTM, di sini hari ini. 

Turut berangkat Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin. 

Allahyarham sebelum ini dilapor dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) sejak Selasa lepas kerana masalah kesihatan, sebelum menghembuskan nafas terakhirnya pada pukul 2.06 pagi tadi.

Arshad merupakan pengarah pertama Institut Teknologi MARA (ITM) sejak tahun 1967 sehingga 1975, yang kini dikenali sebagai UiTM. 

Allahyarham meninggalkan seorang isteri Toh Puan Zaleha Mohd Arshad dan tujuh orang anak iaitu lima lelaki dan dua perempuan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here