BEIJING, 16 Jun — Hubungan China-Rusia berjaya mengekalkan momentum perkembangan baik tatkala dunia menghadapi pergolakan dan transformasi, kata Presiden China, Xi Jinping semasa perbualan menerusi telefon dengan rakan sejawatnya dari Rusia, Vladimir Putin pada Rabu.

Beliau berkata kerjasama ekonomi dan perdagangan dua hala mencapai kemajuan baharu, sementara perasmian jambatan lebuh raya rentas sempadan Heihe-Blagoveshchensk membuka satu laluan baharu yang menyambungkan kedua-dua negara.

“China bersedia berusaha bersama Rusia untuk memperkukuh kerjasama praktikal kedua-dua negara untuk jangka panjang,” katanya.

Sementara itu, Putin turut gembira dengan kecemerlangan yang dilakar China dalam pembangunan negara.

“Sejak awal tahun ini, kerjasama praktikal antara Rusia dan China terus berkembang dengan mantap.

“Rusia menyokong Inisiatif Keselamatan Global anjuran China, dan menentang mana-mana pihak mencampuri hal ehwal dalaman China dengan mempergunakan isu Xinjiang, Hong Kong, Taiwan dan lain-lain,” kata beliau.

Putin berkata Rusia bersedia meningkatkan koordinasi pelbagai hala dengan China, agar bersama-sama memberikan sumbangan bagi menggalakkan pelbagai polarisasi di dunia serta pembinaan order antarabangsa yang lebih adil dan rasional.

Menyentuh isu Ukraine, Xi menegaskan bahawa China membuat pertimbangan bebas dari aspek sejarah dan kebenaran, di samping aktif menggalakkan keamanan sejagat serta kestabilan order ekonomi dunia.

Tegasnya, pihak-pihak terlibat perlu mendorong penyelesaian krisis Ukraine dengan baik melalui cara yang bertanggungjawab dan China bersedia untuk terus memberikan sumbangan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here