SEREMBAN, 15 Julai — Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sembilan menumpaskan kegiatan penyelewengan minyak diesel bersubsidi berjumlah  31,215 liter dalam serbuan di sebuah stor haram di Kampung Bemban Hilir di sini, semalam.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Negeri Sembilan Abd Muis Samsudin berkata menerusi serbuan hampir lapan jam bermula 5.30 petang itu, turut dirampas sebuah motolori tangki, lori ‘bonded’ diubah suai, tangki gelongsor, tangki petak dan peralatan untuk kerja pemindahan diesel dengan keseluruhan rampasan bernilai RM269,912.25.

Beliau berkata ketika serbuan, empat lelaki tempatan dalam lingkungan umur 29 hingga 42 tahun sedang memindahkan minyak diesel daripada sebuah motolori tangki dan lori ‘bonded’ ke dalam tangki minyak yang berada di kawasan stor berkenaan.

“Mereka cuba melarikan diri selepas menyedari kehadiran pasukan penguat kuasa namun berjaya ditahan bagi membantu siasatan. Pemeriksaan lanjut mendapati 11 unit tangki petak dan sebuah tangki gelongsor berisi minyak diesel dipercayai dipindahkan daripada lori berkenaan melalui hos.

“Semakan juga mendapati premis itu tidak mempunyai lesen sah atau apa-apa dokumen kebenaran daripada pengawal bekalan untuk menjalankan urusan barang kawalan bersubsidi diesel,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata hasil risikan mendapati terdapat aktiviti pembelian diesel daripada stesen minyak oleh lori tangki berkenaan di sekitar bandar Seremban, selain dipercayai terdapat aktiviti penghantaran dan penyimpanan di lokasi berkenaan.

Menurutnya lokasi stor yang agak terpencil menjadikan sindiket berkenaan sukar dikesan pada peringkat awal penjejakan dan mereka disyaki menjadikan kawasan itu sebagai tempat penyelewengan minyak diesel bersubsidi sejak enam bulan lepas.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Bekalan 1961 kerana menyimpan barang kawalan dengan niat melakukan kesalahan serta Seksyen 20 (1) Akta yang sama kerana menyimpan barang kawalan di tempat tidak dilesenkan.

“KPDNHEP negeri akan terus menjalankan pemantauan dan pengguna di negeri ini boleh menyalurkan maklumat atau aduan berkaitan peniaga yang tidak mematuhi undang-undang menerusi portal e-aduan.kpdnhep (https://eaduan.kpdnhep.gov.my) dan WhatsApp di talian 019-279 4317,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here