KUALA LUMPUR, 15 Julai — Pengeluaran getah asli Malaysia susut 6.3 peratus kepada 21,073 tan pada Mei 2022 berbanding dengan 22,498 tan pada April 2022, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata perbandingan tahun ke tahun turut menunjukkan penurunan 25.2 peratus berbanding dengan 28,164 tan yang direkodkan pada Mei 2021.

Beliau berkata pengeluaran getah asli Malaysia pada Mei 2022 disumbangkan terutama oleh sektor pekebun kecil sebanyak 83.3 peratus manakala sektor estet sebanyak 16.7 peratus.

“Jumlah stok getah asli pada Mei 2022 turun 2.8 peratus kepada 289,430 tan berbanding dengan 297,654 tan pada April 2022.

“Kilang pemproses getah menyumbang stok akhir sebanyak 92.7 peratus diikuti kilang pengguna getah sebanyak 7.2 peratus dan estet getah pada 0.1 peratus,” katanya dalam kenyataan bagi mengulas Perangkaan Getah Bulanan Malaysia Mei 2022 yang dikeluarkan DOSM pada Jumaat.

Data itu memaparkan statistik pengeluaran, import, eksport, penggunaan domestik, stok, harga, bilangan pekerja, gaji serta upah dan produktiviti bagi estet getah.

Beliau berkata eksport getah asli Malaysia berjumlah 43,197 tan pada Mei 2022 susut 26.3 peratus berbanding dengan 58,596 tan yang dicatatkan pada April 2022.

China terus kekal sebagai destinasi utama untuk eksport getah asli dengan jumlah 44.6 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport pada Mei 2022 diikuti Amerika Syarikat (12.4 peratus), Turki (4.5 peratus), Brazil (4.4 peratus) dan Finland (3.7 peratus), katanya.

Mohd Uzir berkata prestasi eksport disumbangkan oleh produk berasaskan getah asli seperti sarung tangan getah, tayar, tiub, benang getah dan kondom.

Produk sarung tangan getah merupakan eksport utama dengan nilai RM1.6 bilion pada Mei 2022, turun 30.0 peratus berbanding dengan RM2.2 bilion bagi April 2022, katanya.

Beliau berkata sentimen pasaran getah dunia disokong oleh unjuran bekalan getah asli yang lebih terhad, rangsangan ekonomi di China dan optimisme terhadap perdagangan Amerika Syarikat-China.

“Selanjutnya didorong oleh kebimbangan inflasi, ketidaktentuan yang semakin meningkat mengenai kelembapan ekonomi global daripada dasar sifar COVID-19 di China, dan konflik berpanjangan Rusia-Ukraine seperti dilaporkan dalam Malaysian Rubber Board Digest yang diterbitkan pada Mei 2022,” katanya.

Analisis perbandingan harga purata bulanan pula menunjukkan lateks pekat merekodkan peningkatan iaitu 0.6 peratus kepada 670.69 sen sekilogram pada Mei 2022, daripada 666.47 sen sekilogram pada April 2022, katanya.

Beliau berkata jenis sekerap juga turun 3.5 peratus kepada 565.84 sen sekilogram daripada 586.65 sen sekilogram bagi tempoh yang sama.

Mohd Uzir berkata pergerakan harga bagi semua jenis Getah Mutu Malaysia (G.M.M) pula adalah dalam keadaan bercampur-campur iaitu turun 2.2 hingga 2.3 peratus serta meningkat 0.6 peratus.

Data Harga Komoditi Bank Dunia melaporkan harga bagi getah jenis TSR 20 (Getah Perincian Teknikal) dan SGP/MYS (Singapura/Malaysia) masing-masing susut 5.0 peratus daripada US$1.70 sekilogram kepada US$1.62 sekilogram, dan 1.7 peratus daripada US$2.09 sekilogram kepada US$2.06 sekilogram, katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here