SEREMBAN, 17 Julai — Sebuah treler 30 tan membawa muatan besi dipercayai mengalami masalah enjin sebelum menggelongsor dan merempuh sebuah rumah di Jalan Peringkat 4, Kampung Felda Sendayan di sini malam semalam.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, dalam kejadian pada pukul 9.15 malam di lokasi berbentuk mendaki bukit, kenderaan berat yang dipandu seorang lelaki berusia 32 tahun tersebut mengalami kerosakan pada bahagian enjin menyebabkan ia berhenti secara tiba-tiba.

“Kemudian treler itu menggelongsor ke belakang sehingga mengakibatkan bahagian belakang lori tergelincir ke kiri bahu jalan lalu merempuh sebuah rumah. Hasil siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku ketika sebuah treler 30 tan jenis Volvo yang membawa muatan besi guna semula itu sedang bergerak dari arah Melaka menuju ke arah Sungai Pelek, Sepang, Selangor,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas Nanda, bagaimanapun tiada mangsa dilaporkan mengalami kecederaan akibat kemalangan itu.

Nanda berkata, pemandu treler terlibat dibawa ke Bahagian Narkotik Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban bagi ujian saringan awal air kencing.

“Hasil ujian air kencing yang dijalankan ke atas pemandu treler itu mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine. Suspek ditahan dan diserahkan kepada pihak Narkotik IPD Seremban untuk tindakan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here