JAKARTA, 17 Julai — Pihak berkuasa kesihatan Indonesia mewajibkan semua masyarakat untuk mengambil suntikan dos penggalak vaksin Covid-19 jika ingin memasuki pusat beli-belah dan tempat awam yang lain bermula hari ini.

Menerusi Surat Edaran Pasukan Pencegahan Covid-19 Nombor 21 Tahun 2022, kerajaan juga mewajibkan suntikan dos penggalak sebagai syarat perjalanan menggunakan semua jenis pengangkutan termasuk udara, laut dan darat.

Peraturan baharu itu menyatakan, mana-mana penumpang yang sudah menerima suntikan dos penggalak tidak perlu lagi menunjukkan hasil ujian Covid-19 yang negatif.

Namun, mereka yang masih belum mengambil suntikan dos penggalak Covid-19 masih perlu melakukan ujian saringan yang menunjukkan keputusan negatif sebelum memulakan perjalanan.

Dalam pada itu, Menteri Dalam Negeri, Tito Karnavian mengarahkan semua ketua daerah menerapkan pengambilan suntikan dos penggalak bagi membolehkan mereka menggunakan semua kemudahan awam yang disediakan.

Jelas Tito, arahan itu selaras dengan ketegasan Presiden Joko Widodo (Jokowi) yang sebelum ini meminta rakyat segera mendapatkan suntikan dos penggalak bagi mengawal penularan Covid-19 di negara ini.

Ketika ini, kes jangkitan Covid-19 di Indonesia menunjukkan trend peningkatan berikutan subvarian Omicron yang lebih mudah berjangkit.

“Bagaimanapun, suntikan dos penggalak itu tidak diwajibkan untuk golongan berusia bawah 18 tahun,” katanya seperti yang dilaporkan CNN Indonesia.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here