ALOR SETAR, 19 Julai — Polis menahan 25 pendatang tanpa izin warga Myanmar yang cuba menyeludup masuk ke dalam negara, termasuk dua tekong darat dari negara berkenaan di Kampung Lubuk Sengkuang, Bukit Kayu Hitam, pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu Supt Rodzi Abu Hassan berkata terdahulu pasukan polis yang sedang menjalankan Op Benteng di kawasan itu telah mengesan dua buah kenderaan yang dilihat dalam keadaan mencurigakan.

Beliau berkata pemeriksaan keatas Nissan Urvan dan Proton Saga berkenaan membawa kepada penemuan 27 individu warganegara Myanmar. sekitar pukul 5.50 pagi hingga 6.58 pagi.

“Kesemua mereka terdiri daripada 20 lelaki dan tujuh perempuan berusia 19 hingga 43 tahun. Dua daripada lelaki itu yang berumur 35 dan 43 tahun dipercayai bertindak sebagai tekong darat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Katanya salah seorang daripada tekong darat itu memiliki kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Pelarian (UNHCR), manakala 26 individu lain tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

Rodzi berkata kesemua suspek dipercayai masuk ke negara ini dari Danok, Thailand melalui pagar sempadan Pos 1 dan Pos 2 di laluan paip gas Petronas, Felda Bukit Tangga dekat Bukit Kayu Hitam.

Katanya kesemua mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu dan kes disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here