KOTA BHARU, 23 Julai — Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini meluangkan masa kira-kira 30 minit melawat beberapa reruai di Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Kelantan di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini.

Orang ramai di sekitar setiap reruai yang dilawatinya kelihatan jelas cukup ceria dan teruja apabila dapat mendekati pemimpin negara secara lebih santai, malah ada yang tidak melepaskan peluang untuk berswafoto dengannya.

Antara yang dilawati Perdana Menteri ialah reruai Kementerian Komunikasi dan Multimedia serta Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan.

Turut mengiringi beliau dalam lawatannya ialah Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa selaku penyelaras AKM Kelantan, Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kelantan.

Terdahulu Perdana Menteri merasmikan AKM Kelantan yang bermula semalam hingga esok.

AKM Kelantan, yang bertemakan Keluarga Malaysia Keluarga Digital merupakan kesinambungan kepada penganjuran 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia diadakan di 14 lokasi di seluruh negara dengan pengisian program berbentuk perkhidmatan kepada rakyat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here