ISTANBUL, 24 Julai — Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Ahad mengesahkan tiga lagi kes membabitkan jangkitan wabak cacar monyet, menjadikan angka keseluruhan sebanyak 16  setakat ini.

Kementerian Kesihatan UAE dalam satu kenyataan memaklumkan masyarakat dinasihati  mematuhi langkah pencegahan dan  berhati-hati ketika melancong atau menghadiri sebarang perhimpunan.

Pihak berkuasa kesihatan sedang mengambil semua langkah  perlu termasuk “menjalankan siasatan, pemeriksaan terhadap kontak rapat dan tindakan susulan,” serta menggesa orang ramai mendapatkan maklumat dari sumber rasmi selain mengelak daripada menyebarkan khabar angin, lapor Agensi Anadolu.

Peningkatan kes di seluruh dunia direkodkan pada Mei, dan UAE mencatatkan kes pertama virus cacar monyet pada 24 Mei.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Sabtu mengisytiharkan cacar monyet sebagai kecemasan kesihatan global, iaitu tahap amaran tertinggi bagi sesuatu penyakit.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here