KUALA LUMPUR, 26 Julai — Kerajaan negeri Kedah dicadang menjadikan Gunung Inas, Baling sebagai hutan perlindungan yang berfungsi sebagai kawasan tadahan air, kata Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Beliau berkata cadangan oleh Jabatan Perhutanan Semenajung Malaysia (JPSM) itu dibuat agar kawasan itu tidak boleh ‘diusik’ serta dapat memberi jaminan keselamatan kepada rakyat di kawasan itu khususnya.

“Hasil siasatan JPSM dan Jabatan Perhutanan Negeri Kedah mendapati ada penanaman durian hibrid atau durian Musang King yang dilaksanakan di kawasan itu. Saya nak nyatakan yang Musang King bukanlah spesis yang dikenal pasti untuk ditanam sebagai ladang hutan.

“Terdapat 11 spesis (antaranya) akasia, batai, getah klon, balak, jati dan tidak termasuk durian hibrid sebagai spesis ladang hutan tetapi ia telah dilaksanakan di Kedah di bawah kerajaan negeri Kedah seawal 2017, dan pada 2019 kerajaan pada masa itu meluluskan penanaman durian Musang King sebanyak 20 peratus daripada keluasan dibenarkan dan masih lagi dibenarkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini bagi menjawab soalan Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) yang ingin tahu kaedah penyelesaian yang dirancang kementerian itu bagi memastikan keselamatan rakyat dijamin khususnya penduduk sekitar Gunung Inas Baling, Kedah berikutan insiden kepala air baru-baru ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here