KUALA LUMPUR, 27 Julai — Penggunaan teknologi baharu dalam industri agrikomoditi di Malaysia akan dapat membantu mengatasi masalah tenaga buruh selain meningkatkan produktiviti syarikat, menjimatkan masa dan mengurangkan kos, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia (MOSTI) Datuk Seri Dr Adham Baba.

Beliau berkata pencarian atau pembangunan produk menggunakan teknologi terkini juga penting untuk meningkatkan nilai tambah sesebuah produk asas.

“Misalnya, produk mentah agrikomoditi seperti kenaf, getah dan sisa fiber daripada proses penuaian dan pengekstrakan minyak sawit sesuai digunakan untuk menghasilkan biokomposit plastik dan gentian lain yang bernilai tinggi,” katanya pada hari kedua Ekspo dan Sidang Kemuncak Agrikomoditi Antarabangsa Malaysia (MIACES) 2022 hari ini.

Sehubungan itu, beliau berharap syarikat korporat, peladang dan pekebun kecil dapat berinteraksi dengan agensi- agensi di bawah MOSTI dan syarikat teknologi yang disokong oleh kementerian bagi mendapatkan bantuan dan sokongan yang disediakan.

“Saya juga menjemput ekosistem perladangan dan komoditi untuk tampil mendapatkan sebarang khidmat nasihat berhubung penyelesaian teknologi yang ditawarkan untuk diguna pakai secara meluas oleh peladang dan pekebun kecil tempatan,” katanya.

Katanya kementerian melalui Pelan Hala Tuju Teknologi Robotik Negara 2021-2030 akan membantu meningkatkan lagi kemampanan pelbagai sektor industri utama negara termasuk sektor perladangan dan komoditi.

“Pelan ini akan dapat menyumbang kepada peningkatan pertumbuhan produktiviti buruh tahunan di Malaysia daripada 1.8 peratus kepada 3.6 peratus,” katanya. 

Katanya MOSTI sentiasa komited untuk memperkasakan pembangunan teknologi baharu dalam industri agrikomoditi dan mengajak syarikat teknologi tempatan untuk meneroka dana-dana yang disediakan oleh kerajaan bagi mempercepatkan proses penyelidikan dan pembangunan serta pengkomersialan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here