BEIJING, 2 Ogos — Pameran Perdagangan Perkhidmatan Antarabangsa China (CIFTIS) 2022 bakal diadakan di Pusat Konvensyen Kebangsaan China (CNCC) dan Taman Shougang di sini, mulai 31 Ogos hingga 5 September.

CIFTIS edisi kali ini bertemakan “Bekerjasama untuk pembangunan yang lebih baik, inovasi untuk masa depan yang lebih hijau”, di samping slogan tetapnya iaitu “Perkhidmatan Global bagi Manfaat Bersama dan Perkongsian”.

Disifatkan sebagai platform komprehensif yang skalanya terbesar dalam bidang perdagangan perkhidmatan di dunia, CIFTIS 2022 akan meliputi kawasan pameran seluas 152,000 meter persegi.

Difahamkan, ia juga akan memberi tumpuan kepada perlindungan ekologi, teknologi dan aplikasi baharu dalam bidang penjimatan tenaga serta mesra alam bagi mencapai matlamat kemuncak pelepasan karbon dan status neutral karbon.

Teknologi dan aplikasi dalam bidang ‘metaverse’ serta Internet generasi baharu akan dipaparkan dalam pameran berkaitan telekomunkasi, komputer dan perkhidmatan maklumat.

Sebanyak 65 negara dan pertubuhan antarabangsa dilaporkan telah mengesahkan penyertaan dalam acara ini secara dalam talian atau fizikal.

Pertubuhan Pembangunan Industri Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Meteorologi Dunia akan mengadakan pameran serta menganjurkan forum.

Sementara itu, syarikat-syarikat dari 30 negara dan kawasan yang mempunyai kelebihan dalam perdagangan perkhidmatan serta syarikat tersenarai dalam Fortune Global 500 turut dipelawa untuk menyertai CIFTIS edisi kali ini bagi meningkatkan jumlah peserta antarabangsa.

Selain itu, CIFTIS 2022 akan menyaksikan lebih 163 forum dan sesi penyiaran laporan merangkumi tujuh forum kemuncak yang akan mengumumkan pelbagai laporan termasuk mengenai perkembangan perdagangan perkhidmatan di China, trend baharu perdagangan perkhidmatan global dan pembangunan bandar pelancongan dunia.

Sebanyak 84 syarikat dan institusi terkenal di dunia juga akan memaklumkan mengenai kejayaan mereka. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here